MALAYSIA
16 tuntutan MA63 masih dalam penelitian - TPM Fadillah

Fadillah berkata 13 tuntutan telah diselesaikan termasuk sembilan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI manakala empat lagi dimuktamadkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 daripada 29 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih dalam peringkat penelitian oleh Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata tuntutan itu melibatkan isu berkaitan pendidikan, kesihatan, royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) serta hak negeri ke atas pelantar benua.
Fadillah berkata 13 tuntutan pula telah diselesaikan termasuk sembilan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI manakala empat lagi dimuktamadkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.
"Antara tuntutan yang telah diselesaikan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI adalah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182) serta penyerahan Kuasa Kawal Selia Elektrik kepada kerajaan negeri Sabah."Penyelesaian turut melibatkan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai Anggota Tetap LHDN dan pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Fadillah berkata platform perundingan MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diwujudkan bagi meneliti tuntutan yang dikemukakan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, berdasarkan kepada perundangan dan pelaksanaan tuntutan yang dipersetujui.
"Kerajaan MADANI amat beriltizam untuk menyegerakan penyelesaian kepada semua tuntutan di bawah MA63 namun tempoh masa bagi penyelesaian setiap tuntutan adalah tertakluk kepada proses perundangan yang berkaitan.
"Selain itu, tahap kesediaan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dari sudut operasi, sumber manusia dan kewangan juga merupakan antara aspek yang perlu diambil kira sebelum suatu tuntutan di bawah MA63 dapat diselesaikan," katanya.
Mengenai langkah untuk mengurangkan risiko banjir, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kementerian menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan strategi struktur dan bukan struktur di seluruh negara bagi meningkatkan sistem saliran dan infrastruktur.
Beliau berkata penyelesaian berstruktur itu termasuklah menaik taraf infrastruktur dan saliran, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), pengurusan sungai, saliran mesra alam, kolam takungan, kawalan hakisan pantai, pemuliharaan muara serta program pemulihan dan pembersihan sungai.
"Melalui pendekatan bukan struktur pula, kementerian membangunkan pelan induk dan peta hazard banjir. Sehingga 2025, 54 pelan induk telah siap, lima sedang dalam pelaksanaan," katanya.
Selain itu, Fadillah berkata Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) juga dibangunkan bagi mengenal pasti isu saliran, kualiti air dan cadangan naik taraf di samping melaksanakan kajian Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) di seluruh negara untuk memastikan kelestarian sungai.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami