ALOR SETAR: Kesemua 162 guru atau 0.1 peratus daripada 30,000 guru sekolah rendah dan menengah di Kedah, yang dilaporkan masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat hari ini, tidak dibenarkan bersemuka secara terus dengan pelajar.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri Datuk Najmi Ahmad berkata guru yang masih belum divaksin itu, masih perlu hadir ke sekolah tetapi diletakkan di tempat berasingan sebagai langkah memastikan kesihatan dan keselamatan murid serta guru yang lain terjaga.

"Saya tidak pasti kenapa mereka masih belum ambil vaksin, mungkin kerana persepsi sendiri, pandangan dari sudut agama atau takut dicucuk vaksin susulan berita negatif yang tular di media sosial," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tablet sumbangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada 70 pelajar sekolah menengah di Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Najmi berkata guru yang masih belum divaksin itu sentiasa diingatkan supaya mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bagi mengelak daripada dikenakan tindakan tatatertib.

Sementara itu, mengenai perkembangan kes COVID-19 yang melibatkan murid dan guru di Kedah, beliau berkata keadaan masih terkawal, dan semua pihak telah mengambil langkah segera bagi memastikan penularan tidak merebak lebih teruk.

"Setakat ini, sekolah yang ada kes positif tetap dibuka cuma kelas yang terlibat sahaja ditutup untuk kerja-kerja sanitasi, kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Agama negeri juga ditingkatkan untuk atasi masalah ini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 24 pelajar lelaki Maktab Mahmud Sik disahkan positif COVID-19 pada 3 Dis lepas, selain tiga guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang yang turut disahkan positif virus itu dan diarah menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO).

-- BERNAMA