KUALA LUMPUR: Sebanyak 169 menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) telah berfungsi, menyediakan perkhidmatan secara Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G di negeri berkenaan setakat 22 Mac lepas, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 600 menara telekomunikasi yang dirancang untuk dibina di Sarawak menerusi beberapa peringkat peruntukan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat komunikasi.

"Untuk tahun pertama (2024) MCMC akan membelanjakan RM42.9 juta, manakala syarikat telekomunikasi pula membelanjakan RM29.1 juta, diikuti tahun kedua MOF akan mengeluarkan dana RM38.2 juta, sementara syarikat telekomunikasi RM29.1.

"Pada tahun ketiga MOF akan memperuntukan RM38.2 juta dan syarikat telekomunikasi RM29.1 juta.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM206.78 juta yang akan dibelanjakan oleh MCMC, MOF dan syarikat komunikasi untuk menjayakan dan memastikan 600 menara yang dibina oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA) dapat dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen hari ini bagi menjawab pertanyaan Edwin Banta (GPS-SELANGAU) dalam sesi soalan jawab sebelum itu berhubung pelan tindakan alternatif untuk meningkatkan akses jalur lebar agar dapat sampai ke kawasan luar bandar di Sarawak.

Fahmi berkata pelaksanaan SMART600 atau naked tower di negeri Sarawak berdepan masalah yang berlarutan selama ini kerana tidak mempunyai alat pemancar atau radio.

Bagaimanapun katanya pada Oktober lepas beliau telah mengumumkan bahawa MCMC dan MOF bersetuju untuk menyediakan dana secara tahunan bersama syarikat telekomunikasi bagi menyelesaikan berkenaan.

"Selain itu 244 menara telah siap dan sedia untuk dimasuki oleh syarikat telco dan ada 53 menara mempunyai Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) sahaja, menjadikan jumlah keseluruhan adalah 297 yang sedia dimanfaatkan sekarang.

"Sementara itu masih ada 44 menara dalam pembinaan, 59 dalam proses perpindahan lokasi baharu, 31 menara yang bertindih dan bakinya masih dalam pengurusan SMA dan MCMC," katanya.

-- BERNAMA