JOHOR BAHRU: Sebanyak 17,704 penjawat awam Johor termasuk yang berkhidmat di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri akan menerima Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,500.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu kenyataan hari ini berkata bantuan khas berkenaan akan dibayar sebelum sambutan Aidilfitri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk Menimbal Guna Bayaran Insentif Awal (BIA) Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Tahun 2024 yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk diguna pakai di semua jabatan negeri, PBT dan badan berkanun negeri.

"BIA Kajian SSPA Tahun 2024 sebanyak RM2,000 akan dibayar kepada pegawai Perkhidmatan Awam Negeri, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana, Gred 56 dan ke bawah, manakala RM1,000 akan dibayar kepada pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Gred Jawatan Utama/Khas.

"Timbal guna BIA Kajian SSPA Tahun 2024 ini juga akan memanfaatkan seramai 17,704 penjawat awam," katanya.

Menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri berharap pemberian Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri dan menimbal guna BIA kajian SSPA Tahun 2024 itu dapat dijadikan sebagai pemangkin kepada golongan penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti serta berusaha sehabis baik untuk memacu Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan Bangsa Johor.

-- BERNAMA