Lima belas pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibebaskan hari ini selepas direman lima hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berjumlah RM3.5 juta pada Mei lalu.

Majistret Nadhirah Abdul Rahim membenarkan mereka dibebaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dua yang lain dibebaskan pada Jumaat lalu dengan jaminan SPRM.

Lima belas pengawal keselamatan terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini dengan menaiki bas dan diiringi pegawai SPRM.

SPRM sebelum ini dilaporkan mahu berjumpa dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan dana RM3.5 juta di JPM itu milik UMNO.

Pada 8 Ogos lalu, 17 pengawal keselamatan berkenaan direman lima hari hingga hari ini bagi membantu siasatan.

Mereka termasuk seorang pegawai keselamatan gred 52 dan selebihnya pengawal keselamatan gred 11 hingga 38, berusia antara 31 dan 51 tahun.

Mereka dilaporkan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini antara 2.45 petang hingga 3.15 petang pada 7 Ogos dan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

- BERNAMA