PONTIAN: Seramai 170 peserta termasuk dari Singapura dan Indonesia mengambil bahagian dalam Festival Jong Antarabangsa Pontian (FJAP) 2023 yang diadakan selama tiga hari, di sini, bermula semalam.

Pengerusi Kelab Jong Pontian Mohd Tahir Abdul Hamid berkata seramai 100 peminat permainan kapal layar jong tempatan menyertai festival tersebut, manakala bakinya dari dua negara jiran itu.

Beliau berkata Malaysia tampil sebagai tuan rumah FJAP buat kali kedua di lokasi yang sama seperti tahun lepas iaitu di pesisir pantai Dataran Majlis Perbandaran Pontian, di sini.

"Sebanyak 146 buah jong pelbagai corak dan warna dipamerkan kali ini. Sebenarnya permainan ini hanya dimainkan di empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, tetapi tiada penyertaan dari Brunei kali ini.

"Sepatutnya festival ini diadakan pada 16 Sept depan bersempena dengan Hari Malaysia tetapi kita cepatkan memandangkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian FJAP 2023 oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan di Dataran Majlis Perbandaran Pontian, di sini hari ini.

Mohd Tahir berkata edisi festival itu selepas ini akan berlangsung di Tanjung Piai, di sini, September tahun hadapan.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berharap agar FJAP dapat menjadi tarikan pelancongan baharu di daerah tersebut, selain Taman Negara Tanjung Piai yang telah dikenali sebagai penghujung benua Asia.

"FJAP perlu dijadikan acara tahunan yang mana ia akan membantu Pontian untuk terus mendapat perhatian pelancong," katanya.

-- BERNAMA