NIBONG TEBAL: Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyediakan 172,550 Rumah Mampu Milik (RMM) setakat 31 Mac lepas iaitu 78.43 peratus daripada sasaran 220,000 unit menjelang 2030, sebagai usaha membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negeri itu memiliki kediaman.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S.Sundarajoo berkata bagi Skim Sewa Beli pula sebanyak 5,096 unit telah dibina iaitu 23.16 peratus daripada sasaran keseluruhan 22,000 unit, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai rakyat memiliki rumah melalui pendekatan lebih fleksibel.
Advertisement
"Bagi program Pembaharuan Semula Bandar, pencapaiannya melepasi sasaran dengan 6,840 unit merangkumi enam projek telah dikenal pasti. Hal ini menunjukkan keberkesanan pelaksanaan dasar yang dirangka dalam meningkatkan kualiti perumahan sedia ada," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penandatanganan Perjanjian Penyelesaian bersama penduduk Ladang Kechil bagi cadangan pembangunan Rumah MutiaraKu (RMKu) Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) yang dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini semalam.
Sundarajoo berkata kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan perumahan merupakan keperluan asas yang penting dalam menjamin kualiti hidup lebih baik, justeru pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada kediaman yang selesa dan mampu dimiliki.
Beliau berkata aspirasi “Satu Keluarga, Satu Rumah” menjadi teras kepada usaha itu dan ia bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan melalui dasar yang inklusif serta pelaksanaan projek perumahan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Komitmen itu, katanya diperkukuh melalui Visi Penang2030 yang menjadi hala tuju pembangunan negeri dan dalam konteks perumahan, pelaksanaan Inisiatif Strategik A1 memberi tumpuan kepada usaha menangani isu kemampuan serta kepelbagaian perumahan.
"Inisiatif strategik A1 merangkumi tiga sasaran iaitu RMM, skim Sewa Beli dan program Pembaharuan Semula Bandar yang memainkan peranan penting serta sehingga 31 Mac lepas, pencapaian yang direkodkan adalah amat memberangsangkan.
"Fokusnya adalah untuk meningkatkan penawaran rumah mampu milik, menyediakan pilihan kediaman yang pelbagai serta memperluas peluang pemilikan rumah," katanya.
-- BERNAMA