Sebanyak 177 kesalahan direkodkan melanggar peraturan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina dengan melibatkan barangan bernilai RM10,900 dirampas di seluruh negara sejak peraturan itu berkuatkuasa 14 Februari lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin berkata, daripada kesalahan terbabit sejumlah 175 kes dilakukan peniaga dan baki dua oleh pemborong iaitu hasil pemeriksaan 49,711 premis peruncit dan 2,124 pemborong.

Menurutnya, sejumlah RM22,364 kompaun turut dikeluarkan kepada mereka yang melakukan kesalahan dengan jumlah RM21,814 daripadanya dikutip daripada peruncit dan bakinya membabitkan pemborong.

“Bilangan kes adalah 177 kes di seluruh negara di mana 175 daripada melibatkan peruncit manakala dua lagi adalah pemborong. Hasil kes tersebut sebanyak RM10,900 nilai barangan telah dirampas. RM10,808 melibatkan peruncit dan RM97 pula pemborong,” Mohd Roslan berkata demikian kepada media selepas melakukan operasi mengejut di Kompleks Pasar Melaka Sentral, pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau memberitahu masih terdapat peniaga tidak peka mengenai kewajipan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi tujuan membezakan dengan harga barangan biasa.

Katanya, tiga peniaga di pasar berkenaan turut dikenakan kompaun RM100 setiap seorang kerana gagal meletakkan tanda harga khas bewarna merah jambu.

Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan secara keseluruhannya peniaga mematuhi skim kawalan harga yang berkuatkuasa sehingga 25 Februari ini.

Namun, peniaga yang terus ingkar boleh dikenakan tindakan kompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Mohd Roslan berkata, pengguna perlu membuat laporan kepada KPDNKK di pejabat-pejabat berdekatan atau talian bebas tol 1-800-886-800, emel [email protected] sekiranya berlaku kenaikan harga barangan melebihi harga siling yang ditetapkan.