KUALA LUMPUR: Sebanyak 179,865 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah sepanjang 2023, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din.

Berucap pada Perhimpunan Bulanan JSJN di Bukit Aman, beliau berkata kesemua individu berkenaan terlibat dengan 158,493 kesalahan dadah dan sebanyak 1,012 individu telah dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

"Selain itu, 7,403 penagih dadah telah diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan daripada jumlah itu, 4,893 penagih telah disabitkan di mahkamah dalam tempoh yang sama.

"Pada 2023, JSJN juga telah merampas dadah seberat 132,354.7 kilogram (kg) dan 469,538.39 liter pelbagai jenis dadah serta daun ketum yang nilai keseluruhan hampir RM704.9 juta," katanya pada perhimpunan itu yang disiarkan secara langsung melalui Facebook hari ini.

Mohd Kamarudin berkata jumlah itu meningkat berbanding rampasan pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak 124,781.07 kg dan 51,199.88 liter dadah yang bernilai RM460.75 juta.

"Peningkatan rampasan dadah dan tangkapan yang telah berjaya dilakukan membuktikan bahawa JSJN mempunyai kehebatan luar biasa dalam melaksanakan tugas memerangi dadah di dalam negara kita ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu integriti pegawai dan anggota JSJN, beliau meminta mereka untuk mematuhi Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Mohd Kamarudin juga meminta semua warga JSJN agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti salah laku dan menjauhi dadah.

"Saya difahamkan ada seorang pegawai JSJN terlibat judi di Kedah dan saya minta semua pihak beri perhatian berhubung penyeliaan anggota," katanya.

-- BERNAMA