MALAYSIA
18 kes pembuangan sisa haram didakwa di Johor tahun ini

Ling berkata angka itu jelas menunjukkan kesungguhan SWCorp dalam memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras perbuatan itu. - Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Sebanyak 18 kes pembuangan dan pelonggokan sisa pepejal haram dengan jumlah denda mencecah RM305,000 telah didakwa di Johor setakat tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon.
Beliau berkata angka itu jelas menunjukkan kesungguhan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras perbuatan itu.
"Kerajaan negeri Johor melalui SWCorp akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti tidak bertanggungjawab ini.
"Perbuatan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang malah mencemar alam sekitar serta menjejaskan kesejahteraan masyarakat setempat," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.Beliau berkata bagi tempoh 2018 hingga 2024, sebanyak 89 kes pendakwaan telah dibawa ke mahkamah dengan jumlah denda terkumpul RM1.54 juta.
Memetik laporan perkembangan terbaharu, Ling berkata Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada 3 Sept lepas telah menjatuhkan hukuman terhadap tiga individu kerana kesalahan melonggokkan sisa pepejal secara haram di beberapa lokasi di daerah itu.
"Ketiga-tiga individu tersebut telah didakwa secara berasingan di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan setiap seorang dikenakan denda sebanyak RM10,000, menjadikan jumlah keseluruhan denda yang dibayar berjumlah RM30,000," katanya.
Sehubungan itu, Ling menggesa orang ramai agar sentiasa bertanggungjawab dalam pengurusan sisa, menggunakan saluran pelupusan yang sah dan mematuhi undang-undang ditetapkan.
"Kerajaan negeri Johor komited untuk memastikan kebersihan dan kelestarian alam sekitar sentiasa terpelihara demi kesejahteraan rakyat Johor," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami