Skip to main content

Hiburan

Darah legasi diwarisi! Selepas Aisha Retno, Mila Mohsin dipilih bawa watak Puteri Gunung Ledang

MILA MOHSIN
Mila atau nama sebenarnya Hani Karmila Hani Mohsin, ini merupakan anak kepada Allahyarham Hani Mohsin dan Puan Seri Tiara Jacquelina. - Gempak.com

SELEPAS nama penyanyi, Aisha Retno diumumkan sebagai salah seorang pelakon bagi watak Puteri Gunung Ledang, kini pelakon, Mila Mohsin pula diperkenalkan sebagai aktres kedua yang bakal menghidupkan karakter ikonik tersebut dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical.

Berita itu diumumkan secara rasmi oleh produksi teater Puteri Gunung Ledang The Musical menerusi hantaran terbaharu di Instagram.

“Sejak kecil dia telah membesar bersama dunia Puteri Gunung Ledang, menyaksikan sendiri cinta, pengorbanan dan magis yang menjadikan kisah ini hidup di hati para pencintanya selama dua dekad.

“Dan kini, tibalah waktunya pula untuk melangkah ke dalam legenda itu sendiri.

“Inilah salah satu Puteri kami, bukan sekadar mewarisi sebuah nama, tetapi membawa denyut rasa, darah dan jiwa yang telah lama menjadi bagian daripada dunia ini,” maklum hantaran tersebut.

Sementara itu, di ruangan komen, rata-rata netizen dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Mila.

Untuk rekod, Mila atau nama sebenarnya Hani Karmila Hani Mohsin, ini merupakan anak kepada Allahyarham Hani Mohsin dan Puan Seri Tiara Jacquelina.

Terdahulu, produksi telah mengumumkan sedikit kelainan untuk pementasan kali ini, iaitu akan ada dua Puteri Gunung Ledang dan dua pemeran watak Bayan.

Penyanyi, Mimi Fly dan aktres, Nadiah Aqilah telah diumumkan sebagai pemeran watak Bayan

Manakala aktor, Luqman Hafidz pula sebagai pemegang watak Sultan Melaka, dan Yusuf Hashim sebagai pemeran watak Gusti Adipati.

Must Watch Video