JOHOR BAHRU: Sebanyak 19 lagi sekolah di Johor diarahkan ditutup disebabkan penularan COVID-19 semalam dan hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang.

Beliau berkata, sehingga kini, secara keseluruhan sebanyak 40 sekolah sudah ditutup secara berperingkat akibat COVID-19 sejak bulan lalu.

"Hari ini 16 sekolah diberikan notis tutup sementara. Semalam tiga notis dikeluarkan kepada tiga sekolah atas sebab yang sama.

"Arahan itu dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pejabat Kesihatan Daerah kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi membolehkan penilaian risiko, pengesanan kontak rapat serta proses sanitasi dilakukan.

"Ia menjadikan sekolah yang ditutup di Johor setakat ini adalah sebanyak 40 sekolah sejak bulan lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, beberapa sekolah yang diarahkan tutup sebelum ini sudah dibenarkan beroperasi semula selepas pemeriksaan lanjut Pejabat Kesihatan Daerah.