Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menafikan pihaknya melanggar kewajipan kontrak berhubung penamatan kontrak YTL Communications Sdn Bhd (YTLC) sebagai penyedia perkhidmatan 1BestariNet.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas berkata berdasarkan perjanjian, kontrak perkhidmatan YTLC telah tamat pada 30 Jun lepas, dan bukannya ditamatkan KPM.

Menurutnya, YTLC diberi kontrak 1BestariNet Fasa 1 bagi tempoh 13 Dis 2011 hingga 30 Jun 2016, termasuk lanjutan kontrak sebanyak tujuh kali sebelum kontrak fasa kedua yang bermula 1 Julai 2016 hingga 30 Jun lepas.

"Justeru, dakwaan KPM telah melanggar obligasi kontrak serta berlaku tidak adil kepada YTLC dan telah menamatkan kontrak syarikat itu adalah tidak adil dan tidak benar sama sekali," katanya pada sidang media di sini.

Mengenai dakwaan YTLC bahawa pihaknya ada menawarkan solusi lengkap perkhidmatan internet percuma dan Frog VLE bagi tempoh sehingga tender baharu dibuat telah ditolak, Mohd Gazali berkata pihaknya juga telah menolak tawaran beberapa syarikat pembekal lain.

Ia termasuk Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi menyediakan perkhidmatan internet kepada 10,000 sekolah untuk tempoh interim tersebut, kata Mohd Gazali.

"Sepanjang tempoh lapan tahun perkhidmatan, kami tahu kelebihan dan kelemahan YTLC, dan sebab itu kami akan gunakan tempoh interim ini untuk meneroka teknologi baharu yang ditawarkan syarikat telekomunikasi lain.

"Antara lain, tawaran YTLC ditolak kerana terdapat kos tersembunyi," katanya.

Rabu lalu, dalam satu kenyataan, YTLC antara lain berkata, pihaknya terperanjat dengan pengumuman KPM pada 27 Jun lalu bahawa Telekom Malaysia, Celcom Axiata dan Maxis telah ditawarkan untuk menyediakan perkhidmatan internet sementara.

Ia mendakwa, dengan menyingkirkan YTLC, kementerian telah memungkiri janji untuk memanggil tender terbuka dan sebaliknya bersetuju membayar bagi perkhidmatan internet kepada 3 ISP yang dilantik walaupun pihaknya menawarkan perkhidmatan tersebut secara percuma.

Sebagai contoh, Mohd Gazali berkata kementerian terpaksa menanggung kos caj elektrik sebanyak RM41,881,384.98 melibatkan 2,715 tapak menara telekomunikasi sedangkan hakikatnya ia perlu dibayar syarikat tersebut.

Katanya, YTLC tidak pernah membayar caj elektrik struktur menara telekomunikasi yang dipasang di sekolah sejak Kontrak Perkhidmatan 1Bestarinet Fasa 2 bermula sehingga kini.

"Laporan Ketua Audit Negara telah membuat teguran berkaitan caj elektrik supaya kos tersebut ditanggung oleh YTLC kerana menara telekomunikasi yang dipasang adalah juga untuk tujuan komersial selain untuk kegunaan sekolah," tambahnya.

Selain itu, menurut Mohd Gazali, kerajaan juga berpotensi kehilangan pendapatan penyewaan komersial menara telekomunikasi sebanyak RM32,580,000 setahun jika khidmat YTLC diteruskan.

Bagaimanapun, atas sikap tanggungjawab, KPM meluluskan permohonan YTLC untuk pengguna komersial syarikat itu kekal menggunakan pemancarnya di kawasan sekolah selama tiga bulan sehingga 30 Sept depan, katanya.

Jelasnya lagi, KPM turut melihat kelemahan yang dihadapi dalam pelaksanaan Projek 1BestariNet Fasa 2 akan berulang selain tidak dapat meneroka teknologi terkini dan bersesuaian untuk KPM sendiri.

Dalam pada itu, katanya, dapatan hasil kajian impak dan hala tuju pendidikan digital negara yang dijalankan ke atas guru, pelajar dan pentadbir mendapati kualiti capaian internet yang dibekalkan YTLC tidak memuaskan dan ia tidak dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pihak kerajaan.

Mohd Gazali menegaskan segala tindakan yang diambil berkaitan 1BestariNet adalah demi kepentingan guru, murid dan sekolah dalam menyediakan sistem pengajaran dan pembelajaran berkualiti, selain mengoptimumkan sumber kewangan negara.