Bekas Naib Pemuda UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, bahas itu akan dihadiri dirinya sendiri serta beberapa tokoh pemimpin termasuk daripada pihak pembangkang.
"Jemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sekali di dalam bahas itu.
"Apakah Arul Kanda akan bersetuju? Kita biar rakyat untuk saksikan debat ini secara terbuka dan buat penilaian siapa yang menipu pada hakikatnya," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Arul Kanda pada Rabu dilaporkan menjawab tuduhan yang dilemparkan Dr Mahathir yang mendakwanya berbohong berhubung wang RM42 bilion yang telah dibelanjakan.
Kata Arul Kanda, hanya pihak berkuasa iaitu Ketua Audit Negara, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jawatankuasa Wang Kira-kira (PAC) boleh menentukan sama ada dia berbohong atau sebaliknya.
BACA: 'Anak Najib tidak terlibat proses audit 1MDB' - Nur Jazlan
Tegas Khairuddin, apakah selama ini Arul Kanda mahu menafikan dia tidak pernah berbohong terhadap pelbagai isu berkenaan 1MDB yang sudah terang diketahui rakyat.
BACA: 'Saman Tun M kalau betul dia fitnah Najib' - Khairuddin
Khairuddin mahu Arul berdebat secara terbuka dengannya, Dr Mahathir dan Ahmad selain beberapa pemimpin pembangkang mengenai isu 1MDB- Sumber gambar Khairuddin
"Bila dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Arul Kanda kata tidak dapat hadir kerana ke luar negara atas urusan perniagaan tetapi akhirnya dia didapati bersama Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad di sebuah hotel di Kuala Lumpur."Dahulu ketika hendak membayar hutang Maybank dan RHB Capital, Arul Kanda kata mereka tidak pinjam dari seorang raja telekomunikasi tetapi akhirnya mengaku Ananda membantunya melangsaikan hutang 1MDB.
"Selain itu, Arul Kanda kata sebahagian dari wang pelaburan ditebus dari Kepulauan Cayman dibawa pulang dan disimpan dalam bentuk tunai berjumlah USD1.103 bilion di Bank BSI Singapura akhirnya Bank BSI membuat pengakuan tiada wang tunai 1MDB disimpan dalam akaun mereka malahan 1MDB pula memberi dokumen palsu," jelasnya.
BACA: 1MDB nafi buat pinjaman RM2 bilion daripada AmanahRaya
Dalam pada itu Khairuddin turut mempersoalkan tempoh masa yang terlalu lama diberi kepada Arul Kanda dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Halmi untuk mengadap PAC.
"Kenapa PAC beri masa terlalu lama sehingga bulan Ogos untuk panggil mereka berdua?
"Mereka ini sepatutnya dipanggil secepat yang mungkin agar kenyataan yang berunsur penipuan dapat dihentikan segera. Memanggil mereka pada bulan ogos adalah terlalu lama," ujarnya.
BACA: 1MDB: Arul Kanda, Shahrol Halmi perlu tampil beri keterangan Ogos ini - PAC
Sebelum ini, Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya juga akan memanggil dua lagi firma yang mengaudit 1MDB iaitu KPMG dan Ernst & Young pada sesi prosiding yang dijangka diadakan pada minggu depan.
Katanya selain Arul dan Shahrol, PAC juga akan bertemu dengan seorang wakil Kementerian Kewangan pada bulan yang sama bagi mendapatkan keterangan.