Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak pernah dimaklumkan mengenai pembayaran berjumlah US$681 juta kepada sebuah syarikat dikenali sebagai Aabar Investment PJS Ltd yang diperbadankan di Seychelles (Aabar Seychelles) pada 2014.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata pengarah juga tidak memberi sebarang persetujuan bagi pembayaran tersebut dikeluarkan daripada 1MDB Energy Holdings Limited kepada Aabar Seychelles.

Saksi berumur 50 tahun yang mula memberi keterangan sejak akhir tahun lepas berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Beliau ditanya sama ada mengetahui syarikat Aabar lain, yang memiliki nama yang sama dengan syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low iaitu Aabar Investments PJS Ltd (BVI) (Aabar BVI).

Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan bahawa Jho Low dan rakan-rakannya telah menubuhkan Aabar BVI di British Virgin Islands agar serupa dengan Aabar Investment PJS (Aabar Investment), yang merupakan anak syarikat sebenar International Petroleum Investment Company (IPIC).

Wan Aizuddin: Setakat ini, adakah anda tahu bahawa terdapat dua entiti Aabar Investments PJS Ltd yang dikatakan, satu (diperbadankan) di British Virgin Islands dan satu lagi di Seychelles?

Shahrol Azral: Saya mungkin telah ditunjukkan dengan dokumen-dokumen itu semasa siasatan.

Wan Aizuddin: Anda bersetuju bahawa ia tidak ada kaitan dengan Aabar (Aabar Investment) yang sebenarnya?

Shahrol Azral: Saya tidak dapat mengulas mengenai perkara itu.

Pada hari pertama perbicaraan, pihak pendakwaan dalam pernyataan pembukaannya, memaklumkan mahkamah bahawa lebih US$175 juta daripada US$975 juta pinjaman penyambung, telah dibayar ke akaun bank Aabar BVI, yang didakwa sebahagian daripada jumlah itu untuk membeli kembali opsyen Aabar bagi pembelian dua syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP).

Sementara itu, US$681 juta daripada pinjaman tersebut dimasukkan ke dalam akaun Aabar Seychelles antara 3 dan 30 September 2014

Wan Aizuddin mencadangkan bahawa hasil pinjaman tersebut tidak pernah dibayar kepada Aabar yang sebenarnya tetapi sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun Aabar Seychelles.

Bagaimanapun, Shahrol Azral berkata Mohd Hazem Abdul Rahman yang merupakan CEO selepasnya telah memaklumkan kepada lembaga pengarah 1MDB bahawa dana itu digunakan untuk membayar balik opsyen Aabar.

Wan Aizuddin: Hasil pinjaman tidak pernah dibayar kepada Aabar?

Shahrol Azral: Seperti yang dikemukakan oleh Mohd Hazem, ya.

Wan Aizuddin: Wang itu sebenarnya dipindahkan dalam dua bahagian ke Aabar Seychelles.

Shahrol Azral: Ya.

Menjawab soalan lain oleh Wan Aizuddin, saksi itu mengatakan bahawa keputusan untuk mengambil pinjaman itu telah dibincangkan antara pemegang saham dan mereka bersetuju dengan pembiayaan semula.

"Pada 2014 dan 2015, banyak keputusan untuk opsyen Aabar dan jaminan IPIC telah dibuat di peringkat Pejabat Perdana Menteri," kata Shahrol Azral.

Wan Aizuddin: Adakah anda setuju dengan saya bahawa tentunya, pemegang saham dan pengerusi lembaga penasihat (merujuk kepada Najib) hanya akan bersetuju kepada apa yang dicadangkan oleh pihak pengurusan?

Shahrol Azral: Saya tidak dapat memberi komen (mengenai perkara ini) kerana saya tidak mengetahui mengenai perbincangan antara pengurusan dan pengerusi lembaga penasihat.

Wan Aizuddin: Adakah anda setuju dengan saya bahawa sebagai ahli perniagaan yang berhemah, daripada mengambil pinjaman itu, menjual aset adalah pilihan yang lebih baik?

Shahrol Azral: Ya, akan lebih masuk akal untuk menjual dan membayar opsyen Aabar.

Najib, 67, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.



-- BERNAMA