Pasukan polis Thailand telah menahan seorang bekas eksekutif IT dari PetroSaudi International yang didakwa telah membocorkan maklumat berkaitan dengan syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Xavier Justo ditahan di kepulauan Thai semalam dan dihantar ke ibu negara Bangkok pada hari ini, menurut laporan The Malaysian Insider malam ini.

"Xavier Justo telah ditangkap di rumahnya di Thailand oleh Bahagian Pencegahan Jenayah Diraja Thai Polis semalam dan didakwa atas cubaan memeras ugut PetroSaudi International (PetroSaudi).

"Banyak komputer, cakera keras dan maklumat lain telah diambil menurut perintah mahkamah dan waran geledah, siasatan masih sedang dijalankan. Sementara itu PetroSaudi International sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang selanjutnya dalam bidang kuasa lain," laporan tersebut memetik kenyataan PetroSaudi.

Menurut laporan itu, jurucakap PetroSaudi berkata: "Kami berasa lega kerana Encik Justo akan dihadapkan ke muka keadilan di mahkamah. Kami telah menjadi mangsa sebuah jenayah yang telah dipolitikkan di Malaysia.

"Kami gembira untuk akhirnya membuktikan perkara yang sebenar dan kami memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia untuk segala masalah yang disebabkan oleh tindakan tidak bertanggungjawab bekas pekerja kami."

BACA: 'Tun M tetap mahu saya letak jawatan walaupun tiada isu dengan 1MDB' - Najib

BACA: 1MDB: Tunjuk bukti, bukan selindung di sebalik alasan 'rahsia negara' - Tun M

Pada awal Mei, laporan portal Sarawak Report mendakwa usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi telah dimulakan oleh seorang ahli perniagaan, Low Taek Jho dan kuncu-kuncunya pada 8 September 2009, tidak sampai sebulan sebelum perjanjian antara dua syarikat tersebut dimeterai.


Susulan itu, pelbagai pihak telah menyeru supaya 1MDB disiasat, termasuk mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

BACA: 1MDB nafi dakwaan Tun Mahathir

BACA: 1MDB: Perolehan aset tidak didorong oleh agenda politik