KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhasrat menggunakan dana daripada tawaran awam permulaan (IPO) untuk melunaskan pinjaman bank dan hutang sedia ada oleh syarikat berkenaan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, bersetuju dengan cadangan peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tania Scivetti bahawa 1MDB memperoleh dua aset tenaga dalam usaha meningkatkan kepentingannya dalam sektor tenaga dan akhirnya disenaraikan di Bursa Saham Malaysia.

Pemerolehan dua pengeluar tenaga bebas oleh 1MDB itu ialah Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dan Mastika Lagenda Sdn Bhd.

Saksi ke-10 pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Scivetti dalam perbicaraan kes bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Merujuk kepada laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Pengurusan Kawalan Urus Tadbir 1MDB, beliau bersetuju dengan soalan Scivetti bahawa beliau ada menyatakan hasil daripada IPO digunakan untuk membayar pinjaman bank serta melunaskan keseluruhan hutang 1MDB.

Scivetti: Adakah anda bersetuju bahawa idea melancarkan IPO adalah demi kepentingan 1MDB memandangkan dana yang dikumpul akan membantu melunaskan pinjaman yang sedia ada dan membawa masuk aliran wang tunai kepada 1MDB?

Mohd Hazem: Ya

Saksi itu juga bersetuju bahawa rasional jangka panjang di sebalik pemerolehan Tanjong Energy dan Mastika Lagenda adalah untuk mengabungkan kedua-dua syarikat tersebut kepada satu entiti dan seterusnya kepada terbitan IPO di bursa saham.

Beliau turut bersetuju apabila disoal bahawa 1MDB Energy Holdings Ltd disasarkan untuk terbitan IPO.

Scivetti: Adakah anda bersetuju memandangkan liabiliti kewangan yang dihadapi oleh 1MDB pada 2014, anda memberitahu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada 26 Mac 2014 bahawa senaraian IPO akan menjana pulangan antara RM15 hingga RM24 billion?

Mohd Hazem: Saya tidak pasti dengan angka tersebut.

Saksi itu juga bersetuju dengan saranan Scivetti bahawa penyenaraian 1MDB di bursa saham adalah baik untuk memperluaskan aktiviti syarikat.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan awang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

-- BERNAMA