KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan semua dakwaan yang terkandung dalam permintaan untuk timbang tara daripada Goldman Sachs Group Inc (Goldman Sachs), berhubung perjanjian penyelesaian dalam skandal dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan menafikan semua dakwaan itu kerana ia tidak menunjukkan ciri-ciri sebenar pentadbiran kerajaan Malaysia.

Menurut AGC, kerajaan Malaysia menerima permintaan timbang tara itu pada 11 Okt daripada Goldman Sachs.

"Pertikaian itu timbul daripada dakwaan Goldman Sachs mengenai Kerajaan Malaysia yang dikatakan melanggar perjanjian penyelesaian yang dimeterai antara Goldman Sachs, Kerajaan Malaysia, dan 1MDB pada 18 Ogos 2020.

"AGC bagi pihak Kerajaan Malaysia akan menyediakan maklum balasnya dalam lingkungan undang-undang dan mengulangi bahawa kepentingan rakyat Malaysia adalah yang paling utama," kata AGC.

Goldman Sachs dilaporkan telah memfailkan permohonan timbang tara terhadap kerajaan berhubung perselisihan mengenai penyelesaian 1MDB.

Bank yang berpangkalan di New York itu mendakwa kerajaan Malaysia telah melanggar "kewajipannya untuk mengkreditkan aset dengan sewajarnya terhadap jaminan yang diberikan oleh Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian dan untuk mendapatkan semula aset lain."

-- BERNAMA