KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah menyita dan melucut hak pelbagai harta bernilai lebih RM83 juta berkait kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, tindakan pelucuthakan harta itu membabitkan wang tunai, wang dan faedah dalam akaun bank serta 40 beg tangan pelbagai jenama.

Katanya, ia merangkumi harta disita Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan wang berjumlah lebih RM83 juta itu sudah dimasukkan dalam dua akaun milik kerajaan.

"Kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara telah memfailkan permohonan pelucuthakkan harta di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 terhadap harta hasil penyelewengan dana 1MDB.


"Setakat ini, harta yang disita PDRM dan SPRM yang berjaya dilucut hak kepada kerajaan adalah wang tunai serta wang dan faedah dalam akaun bank berjumlah kira-kira RM66.96 juta oleh PDRM dan RM16.06 juta oleh SPRM.

"Selain itu, 40 beg tangan pelbagai berjenama yang dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit.


"Wang kira-kira RM66.96 juta disita PDRM telah dimasukkan ke dalam akaun amanah khas Kementerian Kewangan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanyakan jumlah dan jenis aset hasil daripada penyelewengan dana 1MDB yang berjaya dilucuthakkan oleh kerajaan.

Azalina turut memaklumkan, wang berjumlah lebih kurang RM16.06 juta yang disita oleh SPRM dimasukkan ke dalam akaun hasil kerajaan manakala 40 buah beg tangan yang telah dilucut hak masih dalam proses untuk dilelong. - Sinar