Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini meminta rakyat Malaysia supaya melihat profesionalisme polis dalam melakukan siasatan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata penahanan beberapa individu yang terlibat dalam siasatan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah untuk mendapatkan keterangan yang merupakan sebahagian daripada prosedur siasatan dan bukan tangkapan semberono.

"Tangkapan yang dilakukan polis bukan satu tangkapan tetapi (sebahagian daripada) siasatan.

"Tidak kira sama ada mereka daripada Pejabat Peguam Negara, mahupun Bank Negara Malaysia (BNM) malah jika kebocoran maklumat dilakukan oleh PDRM kita akan ambil tindakan," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kepong di sini, hari ini.

Ujar Zahid, di dalam hal ini fokus siasatan dibuat terhadap kebocoran maklumat yang mungkin disalur, atau dijual, atau diserahkan kepada Sarawak Report, lain-lain portal berita atau kepada pengendali laman sosial.

"Dalam hal ini tindakan yang diambil pihak PDRM harus dilihat sebagai satu tindakan yang mengikuti tatacara perundangan bagi memperolehi maklumat.

"Tidak seharusnya; sebarang maklumat biarpun datang daripada jabatan kerajaan (atau) sebuah badan perundangan, atau jawatankuasa khas yang telah dilantik membocorkan maklumat jauh sekali daripada menjual maklumat itu untuk tujuan pecah amanah atau memburukkan imej Perdana Menteri," katanya.


Justeru, Ahmad Zahid menegaskan pihak polis telah melaksanakan tugas dengan profesional serta beberapa individu yang ditahan sebelum ini telah pun dibebaskan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, yang dipinjamkan dari Jabatan Peguam Negara merupakan antara tiga individu yang ditahan pada awal pagi Sabtu bagi membantu siasatan polis berhubung beberapa laporan polis yang dibuat terhadap Pengarang blog politik Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis pada tengah malam Sabtu.

Selain Ahmad Sazilee, dua lagi individu yang ditahan ialah bekas Ahli Lembaga Penasihat SPRM, Tan Sri Rashpal Singh serta Ahli Sekretariat Kewangan dan Pasukan Petugas Khas Pentadbiran Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Jabatan Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur.

Pada Sabtu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, polis sudah merakam percakapan ketiga-tiga individu itu berhubung laporan berbaur fitnah yang dibuat oleh Clare.

Menurutnya, beberapa pegawai dari Bank Negara Malaysia dan beberapa bank komersial akan turut dipanggil bagi membantu siasatan polis.