KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, percaya sistem keadilan di negara ini akan memberi penyudah seperti mana yang sepatutnya dalam kes berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hal itu dinyatakan Muhyiddin sebagai respon kepada keputusan Mahkamah Amerika Syarikat yang mensabitkan kesalahan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, pada Jumaat.

"Saya percaya mahkamah di negara kita juga akan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam kes 1MDB yang masih dalam prosiding. Perbicaraan kes ini mesti disegerakan agar keadilan segera dicapai.

"Perbicaraan kes Roger Ng telah mendedahkan bukti-bukti mengenai penyelewangan 1MDB yang melibatkan pegawai dan pemimpin utama kerajaan Malaysia pada ketika itu.

"Bagaimana tidak amanahnya mereka menyeleweng berbilion ringgit wang 1MDB yang sepatutnya digunakan untuk membiayai pelaburan strategik dan melaksanakan projek pembangunan ekonomi negara.

BACA: 1MDB: Bekas pegawai Goldman, Roger Ng didapati bersalah di mahkamah AS

"Wang ini sebaliknya digunakan untuk memperkayakan diri sendiri dan kroni," katanya dalam kemas kini di Facebook.

Tambah bekas perdana menteri itu, beliau menentang perbuatan jenayah mereka sejak dari awal dan akan terus berjuang menghalang kumpulan yang digelar kleptokrat itu daripada kembali berkuasa.

Terdahulu, Ng, 49, disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan dalam kes itu, termasuk bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah AS dan bersubahat untuk melakukan pengubahan wang haram.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun, lapor Bloomberg.

Peguam Negara Amerika Syarikat, Breon Peace, dalam kenyataannya menyifatkan keputusan mahkamah tersebut sebagai suatu kejayaan kepada rakyat Malaysia.