KUALA LUMPUR: Dokumen berkaitan syarikat milik ahli keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang dipohon Datuk Seri Najib Tun Razak, tiada kaitan dengan perbicaraan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Ketua pasukan pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, dokumen yang dipohon Ahli Parlimen Pekan itu tidak relevan untuk beliau membela diri daripada pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkaitan dana RM2.28 bilion.

Tegasnya lagi, permohonan itu bersifat pra-matang, dan Mahkamah hanya boleh menentukan tahap kredibiliti seseorang saksi, selepas selesai mendengar keterangan sewaktu perbicaraan.

“Pertamanya, mengenai permohonan dokumen (oleh pembelaan) berkaitan Tan Sri Zeti. Beliau bukanlah tertuduh dalam perbicaraan ini.

“Keduanya, apa jua pemerhatian yang diberikan oleh mahkamah terhadap bukti keterangan yang diberikan Zeti, ia adalah budi bicara untuk Yang Arif tentukan selepas mendengar keterangannya sewaktu perbicaraan,” katanya lagi, di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Sri Ram berkata, Hakim tidak boleh membuat penemuan interim terhadap Zeti atau saksi pendakwaan yang lain pada peringkat ini.

Terdahulu, ketua peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan responden yang terdiri daripada Pendakwa Raya, dan/atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan/atau Bank Negara Malaysia untuk menyerahkan dokumen berkaitan 1MDB.

Untuk rekod, Zeti, yang merupakan Gabenor Bank Negara antara tahun 2000 hingga 2016, telah disenaraikan sebagai saksi pendakwaan untuk perbicaraan 1MDB.

“Jika mereka (pendakwaan) mahu memanggil Zeti, dan pada masa yang sama ada bukti yang mengaitkan Zeti tentang bagaimana ahli keluarganya menerima sejumlah wang dari Jho Low (ahli perniagaan Jho Taek Low), kredibiliti beliau perlu disoalkan secara serius,” katanya lagi.

Muhammad Shafee berhujah, pihak pendakwaan tidak boleh melakukan pertuduhan secara terpilih, dan bukti serta dokumen itu perlu diberikan kepada pihak pembelaan selaras dengan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Dalam pada itu, Muhammad Shafee berkata, anak guamnya turut memohon kebenaran memperolehi dokumen di bawah kawalan responden, atau entiti berkaitan, dengan pengakuan yang dibuat SAC Rajagopal Ramadhass dalam kes pelucuthakan harta OBYU Holding Sdn Bhd.

Selepas mendengar hujah kedua-pihak, Hakim Sequerah telah menetapkan 12 Julai ini untuk beliau menyampaikan keputusan.