Skip to main content

Malaysia

Tengku Zafrul dipanggil saksi kes rasuah Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 2 Dis -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bercakap dalam satu temu bual khas di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), semalam.  Tengku Zafrul yang akan menamatkan tugas sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkuatkuasa hari ini dan bakal menggalas jawatan baharu.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tengku Zafrul dijadualkan hadir sebagai saksi pada prosiding seterusnya yang ditetapkan berlangsung pada 6 Julai. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-11 dalam perbicaraan kes melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi melibatkan kes menerima rasuah RM232.5 juta selain kes pengubahan wang haram RM195 juta yang dihadapi bekas  Perdana Menteri itu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin selepas saksi pendakwaan ke-10, R. Harshini selesai memberikan keterangan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

Menurut pihak pendakwaan, Tengku Zafrul dijadualkan hadir sebagai saksi pada prosiding seterusnya yang ditetapkan berlangsung pada 6 Julai.

Dalam prosiding berkenaan, mahkamah turut menzahirkan pandangan supaya perbicaraan kes itu diberi keutamaan memandangkan ia menarik perhatian umum dan melibatkan isu berprofil tinggi.

Hakim juga berharap proses perbicaraan dapat diselesaikan sebelum 14 September bagi peringkat pendakwaan, sebelum memasuki fasa hujahan kedua-dua pihak.

Beliau turut menegaskan kepentingan semua pihak untuk memastikan perjalanan kes berjalan lancar tanpa kelewatan yang tidak perlu.

Perbicaraan kes tersebut telah dijadualkan selama 29 hari dengan beberapa tarikh pendengaran ditetapkan bermula Mac hingga Ogos, termasuk sesi tambahan pada Julai dan Ogos. 

Perbicaraan dijadualkan bersambung pada 6 hingga 17 Julai, 27-29 Julai, 17-21 Ogos, 26-27 Ogos serta 1, 2,3 dan 14 September. 

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu didakwa menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM225.3 juta daripada beberapa individu dan syarikat yang dikaitkan dengan parti berkenaan.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya antara Mac 2020 hingga Ogos 2021 dan didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau sekurang-kurangnya RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Selain itu, Muhyiddin turut berdepan pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM200 juta yang dimasukkan ke dalam akaun parti melalui beberapa transaksi kewangan.

Pertuduhan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda berat jika disabitkan kesalahan.

 

Must Watch Video

Advertisement