Syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikatakan menerima pinjaman RM540 juta daripada Export Import Bank (Exim Bank), selepas menerima sokongan Putrajaya dalam bentuk surat sokongan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata, apa yang boleh dikata adalah semua terma dan syarat dibuat antara di kerajaan dan Exim Bank, milik Kementerian Kewangan.

"Exim Bank menilai semua kriteria penerimaan risiko untuk pinjaman ini," Chua memberitahu Parlimen semalam, sambil menafikan pinjaman itu dibuat bagi membantu 1MDB membayar sebidang tanah yang dibeli daripada Tadmax Resources di Pulau Indah.

"Pembelian tanah daripada Tadmax itu dibuat pada Februari 2014, manakala pelan rasionalisasi 1MDB tidak diumumkan sehingga Februari 2015.

"Tanah itu dibeli mengikut harga pasaran," katanya ketika memetik laporan The Malaysian Insider.

Tee Yong berkata demikian ketika ucapan penggulungan untuk usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) awal pagi ini dan menjawab soalan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) yang bertanya mengenai pinjaman AS$150 juta yang menurut Sarawak Report didakwa dibuat awal tahun ini.

Ia juga ulasan Tee Yong selepas timbul dakwaan yang pembelian RM262 juta itu terlalu mahal.

Terdahulu, Tony Pua berkata mandat Exim bermakna ia boleh menawarkan pinjaman bagi perdagangan luar negara dan transaksi sahaja.

Beliau juga berkata, surat sokongan kerajaan itu bertujuan membantu 1MDB mendapatkan aliran tunai kerana ia dibebani dengan hutang mencecah RM42 bilion.

Dana pelaburan strategik negara itu sebelum ini menerima surat sokongan daripada kerajaan bagi RM11 bilion bon yang diperoleh melalui Goldman Sachs pada 2012 dan 2013.

Putrajaya juga secara eksplisit menjamin pinjaman RM5.8 bilion untuk 1MDB sebelum ini.