MALAYSIA
2.4 juta rakyat Malaysia tidak layak terima BUDI95 - Loke

Loke (foto) berkata, berdasarkan rekod JPJ, daripada kira-kira 15 juta lesen yang masih aktif, terdapat 925,421 yang tamat tempoh lesennya tidak melebihi tiga tahun. -Gambar/Bernama
PUTRAJAYA: Sejumlah 2.4 juta rakyat Malaysia hilang kelayakan menerima Bantuan Budi Madani RON95 (BUDI95) susulan status Lesen Memandu Kompeten (CDL) mereka terbatal kerana tamat tempoh melebihi tiga tahun.
Ringkasan AI
- Seramai 2.4 juta rakyat Malaysia hilang kelayakan menerima subsidi BUDI95 kerana lesen memandu mereka telah tamat tempoh melebihi tiga tahun dan terbatal secara automatik.
- JPJ merekodkan lebih 925,000 lesen tamat tempoh kurang tiga tahun, dan individu yang hampir mencapai had tiga tahun diseru segera memperbaharui lesen untuk elak perlu menduduki semula ujian memandu.
- Sejak pengumuman BUDI95, lebih 26,000 transaksi pembaharuan CDL telah dibuat, dan proses pembaharuan kini mudah melalui aplikasi MyJPJ yang hanya mengambil masa kurang dua minit.
"Golongan ini diseru supaya segera memperbaharui lesen memandu mereka, khususnya 154,641 individu yang hampir mencapai had tiga tahun.
"Jika tempoh melebihi tiga tahun, mereka bukan sahaja hilang kelayakan subsidi BUDI95 kerana sistem Kementerian Kewangan akan menyekat secara automatik, malah perlu menduduki semula ujian memandu bahagian dua dan tiga," katanya dalam sidang media, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, sejak pengumuman berkaitan BUDI95 pada 22 September lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sebanyak 26,991 transaksi pembaharuan CDL menerusi pelbagai saluran termasuk aplikasi MyJPJ, MySingCard, kios, dan kaunter JPJ di seluruh negara.
"Orang ramai diingatkan supaya menyemak tarikh tamat tempoh lesen masing-masing dan memperbaharui segera.
"Kini proses pembaharuan cukup mudah, malah menerusi aplikasi MyJPJ hanya mengambil masa kurang dua minit untuk diperbaharui," katanya.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan. Bagi bukan warganegara pula, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 bermula tarikh sama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami