MALAYSIA
BUDI95: Pengusaha stesen minyak sedia pelan sandaran, pastikan pengguna nikmati harga subsidi

Pengusaha stesen minyak di seluruh negara telah bersiap siaga dengan langkah sandaran operasi bagi meminimumkan gangguan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Orang ramai diberi jaminan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula 27 Sept ini tidak akan menjejaskan bekalan atau transaksi di stesen minyak walaupun dijangka berlaku lonjakan penggunaan.
Ringkasan AI
- Pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95 bermula 27 September dengan harga petrol RON95 ditetapkan RM1.99 seliter, dan pengusaha stesen minyak telah bersiap siaga dengan pelan sandaran operasi bagi memastikan kelancaran transaksi walaupun dijangka berlaku lonjakan penggunaan.
- Sistem BUDI95 dibuka secara berperingkat kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September, penerima STR pada 28 September, dan 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif pada 30 September.
- Penganalisis ekonomi menyifatkan BUDI95 sebagai langkah berani kerajaan dalam rasionalisasi subsidi yang mampu menjimatkan perbelanjaan negara dan membolehkan dana disalurkan semula kepada sektor kritikal seperti kesihatan, dengan penekanan kepada penambahbaikan berterusan berdasarkan maklum balas rakyat.
"Kita tak nak susahkan rakyat... kita nak pastikan rakyat dapat juga harga RM1.99 itu... kesiapsiagaan itu, harap-harap menjelang 27 Sept nanti, semuanya sudah cantik," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.
Beliau juga berharap agar orang ramai dapat bersabar sekiranya berlaku sebarang kelewatan atau gangguan dan memberi jaminan pengusaha stesen minyak akan membantu memastikan semua pelanggan mendapat harga subsidi itu.
Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter menerusi penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.
Menurut Kementerian Kewangan, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 Sept manakala bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 Sept diikuti 30 Sept bagi 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Fakulti Perniagaan UniKL Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menyifatkan BUDI95 sebagai satu usaha murni dan baik yang mencerminkan keberanian politik kerajaan dalam melaksanakan dasar yang sudah lama tertangguh.
"Nak buat ini bukan sesuatu yang mudah dan Kerajaan MADANI telah mengorak langkah dengan beraninya sebab amaun subsidi itu makin bertambah," katanya.
Beliau berkata kejayaan rasionalisasi itu mampu memberikan penjimatan besar kepada negara seterusnya boleh disalurkan semula kepada rakyat dengan dana yang dikumpul dapat diagihkan kepada sektor kritikal negara seperti kesihatan.
Beliau juga berkata kesinambungan dasar amat penting bagi memastikan impak jangka panjang dapat dicapai sambil menyeru kerajaan agar terus menambah baik mekanisme pelaksanaan berdasarkan maklum balas daripada rakyat dan pengusaha.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami