SHAH ALAM: Polis Selangor telah menahan 550 individu yang terlibat dalam kegiatan gangsterisme sejak dari tahun 2019 sehingga tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam tempoh sama, 175 kes direkodkan melibatkan mereka dan antaranya adalah kes pergaduhan, merusuh, bunuh dan cuba bunuh.

“Di negeri Selangor memang ada beberapa kumpulan yang aktif. Antara yang aktif adalah Geng 21, 08, 24 dan 36. Mereka yang terlibat dalam kumpulan ini berumur antara 20-an ke 40-an.

“Mereka lakukan pelbagai jenayah antaranya pergaduhan, pemerasan, aktiviti penjualan dadah dan antara punca berlaku pergaduhan sesama mereka adalah perebutan kawasan.

“Ia terutama sekali perebutan tempat untuk mereka beri perlindungan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Jumaat.

BACA: Polis kesan geng kongsi gelap aktif rekrut ahli, termasuk pelajar sekolah

Dalam pada itu, Arjunaidi memaklumkan, sejak dari 2015, pihaknya telah menangkap 2,433 orang di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Dari 2015 hingga 2021, kita memang giat lakukan tangkapan. Bilangan tangkapan di bawah POCA dari 2015 hingga 2020, terdapat peningkatan begitu ketara.

“Seramai 209 orang ditangkap pada 2015, 2016 (262 orang), 2017 (413 orang), 2018 (387 orang), 2019 (439 orang), 2020 (604 orang) dan untuk tempoh tiga bulan ini (tahun 2021), kita tangkap seramai 119 orang,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan penangkapan ahli kongsi gelap tersebut, kadar jenayah melibatkan kumpulan kongsi gelap di Selangor agak terkawal.

“Kita minta masyarakat melaporkan kepada pihak polis pada kadar segera (sekiranya mengesan aktiviti kongsi gelap) termasuk apakah aktiviti dijalankan mereka.

“Kita memang merahsiakan maklumat mereka yang memberikan maklumat kepada kita,” katanya.