SHAH ALAM: Polis mengesan sebuah kumpulan kongsi gelap kini sedang aktif merekrut ahli baharu termasuk pelajar sekolah untuk menyertai kumpulan mereka yang dinamakan Geng 2-4 Bukit Raja.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, hasil siasatan mendapati jumlah ahli kumpulan tersebut hampir mencecah 100 orang dan lebih membimbangkan, 10 peratus daripadanya merupakan pelajar sekolah.

Menurutnya, dalam usaha merekrut ahli baharu, kumpulan tersebut berjanji untuk menawarkan perlindungan, kuasa, pengaruh dan kewangan kepada ahli.

“Sebab itu ramai golongan muda menyertai mereka. Kumpulan ini mendapat sumber kewangan dengan lakukan pemerasan, jaga kawasan, jaga premis hiburan, rumah urut dan perjudian. Kalau tidak ikut cara mereka, kumpulan ini akan buat kacau.

“Polis juga mendapati kumpulan ini terancang, teratur dan berorganisasi di mana mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Pertubuhan.

“Hasil siasatan juga mendapat terdapat beberapa ahli telah menjalani upacara angkat sumpah khas iaitu angkat sumpah berdarah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, polis juga menahan 16 ahli kumpulan tersebut yang didapati terlibat dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Setia Alam pada September tahun lepas.

“Hasil daripada soal siasat, kita dah kenal pasti 50 orang (daripada geng tersebut) yang terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah.

“Seramai 19 orang kita telah tuduh di mahkamah, 20 lagi ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, seramai 11 orang masih dalam tahanan reman.

“Antara kes sering dilakukan adalah pergaduhan, merusuh, mendatangkan kecederaan, mendatangkan kecederaan dengan senjata, samun dan pemerasan,” ujarnya.