MALAYSIA
2,467 kes keganasan rumah tangga direkod dalam tempoh Januari hingga April - Noraini

Noraini pada sidang media selepas perasmian Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @Keganasan Rumah Tangga Tangga (Aku Wanita@KRT) di Kuala Ibai, hari ini. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 2,467 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
Ringkasan AI
- Statistik Keganasan Rumah Tangga Meningkat: Sebanyak 2,467 kes direkodkan di seluruh negara dari Januari hingga April 2025, dengan suri rumah dikenal pasti sebagai golongan paling terjejas.
- Penderaan Emosi dan Psikologi Terbalik: Ramai mangsa tidak sedar mereka dianiaya kerana penderaan bukan hanya fizikal, tetapi juga melibatkan emosi dan manipulasi psikologi oleh pelaku.
- Program Pemulihan dan Intervensi: Kementerian KPWKM melaksanakan Program Aku Wanita@KRT termasuk sesi K-Chat bersama kaunselor dan pemandiri untuk membantu mangsa memahami dan pulih daripada trauma keganasan rumah tangga
"Kajian juga mendapati kebanyakan penderaan dilakukan oleh orang paling dekat dengan mangsa atau dalam kalangan ahli keluarga," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT), di sini hari ini.
Noraini berkata daripada Januari hingga April lepas, sebanyak 104 kes keganasan rumah tangga dikesan berlaku di Terengganu.
Beliau berkata meskipun jumlah tersebut menunjukkan pengurangan berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 130 kes, namun angka yang direkodkan masih membimbangkan.
Sehubungan itu, beliau berkata kementerian melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kes keganasan rumah tangga, termasuk menerusi Program Aku Wanita@KRT yang dirangka untuk mendekati masyarakat dalam menangani masalah tersebut.
Noraini berkata menerusi program berkenaan isu-isu berkaitan keganasan rumah tangga akan dibincangkan bersama pakar serta pemandiri iaitu mangsa yang telah berjaya keluar daripada masalah keganasan rumah tangga bagi berkongsi kisah kebangkitan dan pemulihan hidup mereka.
"Selain itu, sesi intervensi psikologi yang dinamakan 'K-Chat' juga telah diperkenalkan menerusi program ini. Sesi ini merupakan intervensi berkumpulan antara pemandiri bersama kaunselor dan fasilitator terlatih untuk membantu peserta memahami dan menangani isu yang melanda diri akibat keganasan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami