SRI AMAN: Dua maut, manakala seorang lagi melecur hampir keseluruhan badan dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kampung Gua Ming di sini pada Selasa.

Mangsa maut dikenal pasti sebagai Jerawi Gundam, 50, dan Valen Ting Hui Hui, 17, sementara Lee Nyuk Mui, 56, melecur 90 peratus tubuh selepas lori yang dipandunya terbakar.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Henderi Ardimanshah ketika dihubungi berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman diatur gerak ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 1.38 tengah hari.

“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu motosikal, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori.

“Akibat kemalangan tersebut, MPV telah terbakar 100 peratus manakala lori telah terbakar hampir 20 peratus. Kesemua mangsa telah berjaya keluar dari kedua-dua buah kenderaan dengan bantuan orang awam,” katanya.

Menurutnya lagi, penunggang motosikal iaitu Jerawi dan penumpang MPV, Hui Hui disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.

“Tiga mangsa yang menaiki MPV telah mengalami cedera ringan.  Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sri Aman dengan menggunakan kenderaan EMRS Bomba dan ambulans,” katanya.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada Polis Sri Aman untuk tindakan lanjut.