KUANTAN: Dua lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di perairan berhampiran Pulau Tioman pada Isnin lalu ditemui selamat hari ini.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, Chia Swee Kong, 49 dan Zulfahmi Izzudin Gan Abdullah, 45, ditemui dalam keadaan lemah oleh orang awam di Teluk Juara, Pulau Tioman, jam 2.30 petang tadi.

Menurutnya, mangsa memaklumkan bot mereka kehabisan minyak dan dipukul ombak menyebabkannya karam pada Isnin.

"Usaha menjejaki mereka menemui jalan buntu apabila telefon bimbit kedua-dua pemancing berkenaan gagal dihubungi.

"Kedua-dua mangsa dipercayai terselamat kerana memakai jaket keselamatan dan berenang menuju ke daratan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, laporan awal kehilangan mereka diterima daripada majikan pada Isnin.

"Kedua-dua mangsa merupakan pekerja resort  miliknya telah keluar memancing dengan menaiki bot fiber dari Teluk Juara dan kebiasaannya akan pulang pada hari yang sama. Majikan itu membuat laporan selepas mereka tidak pulang," katanya.

Ujarnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah ditamatkan setelah Maritime Rescue Sub - Centre (MRSC) Kuantan menerima panggilan daripada Balai Polis Rompin yang memaklumkan penemuan dua pemancing terbabit.

Jelasnya lagi, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman bagi rawatan lanjut.

"Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai dan penduduk sekitar supaya berhati-hati dan berwaspada apabila berada di laut dengan mematuhi undang-undang.

"Orang ramai juga perlu sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan musim tengkujuh masih belum berakhir dengan laut bergelora dan angin kuat," katanya.

Kamal Ariffin berkata, sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau bantuan kecemasan MERS 999.