BATU PAHAT: Seramai 20 individu ditahan polis sehubungan dakwaan terlibat dalam insiden merusuh di Parit Raja, Batu Pahat kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 2 pagi di sekitar persimpangan Pekan Parit Raja di KM 22.5 Jalan Batu Pahat - Kluang.

Katanya, kumpulan itu yang dianggarkan melibatkan 40 orang itu dipercayai telah membuat halangan menggunakan motosikal dan kereta selama 15 minit dengan menggunakan taktik (merentang) kain rentang, membakar suar dan mercun untuk menarik perhatian pengguna jalan raya," katanya.

"Kain rentang yang sama juga dibawa dan digantung di jejantas berdekatan SJKC Kong Nan sejurus selepas kejadian.

"Pihak polis juga merampas kain rentang, sisa-sisa pembakaran dan mercun di tempat kejadian. 

"Rata-rata tangkapan berumur antara 16 hingga 28 tahun dan merupakan penduduk setempat. Kesemua yang ditahan telah diberi perintah tahanan reman selama empat hari sehingga 17 Mei 2021," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 144 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) dan juga Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi 180 saat menunjukkan sekumpulan samseng jalanan menaiki motosikal dengan membakar suar dan menaikkan kain rentang.