Skip to main content

Dunia

Perancis sedia sokong rundingan damai AS-Iran, kata Macron

French President Emmanuel Macron waits for the arrival of a guest at the Elysee Palace in Paris, France, March 24, 2026. REUTERS/Abdul Saboor
Macron turut memuji usaha Washington dalam mencari penyelesaian bagi meredakan ketegangan antara kedua-dua negara. -Gambar fail/Reuters

PARIS: Perancis sedia memberikan sokongan serta memainkan peranan aktif dalam usaha damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata Presiden Emmanuel Macron.

Menurut beliau, perkara itu disampaikan dalam perbualan dengan Presiden AS Donald Trump pada Ahad malam.

Macron turut memuji usaha Washington dalam mencari penyelesaian bagi meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.

“Perancis bersedia menyumbangkan kepakaran dalam proses rundingan, khususnya berkaitan isu nuklear dalam sebarang perjanjian,” katanya.

Beliau berkata Perancis bersama United Kingdom (UK) dan rakan sekutu lain turut membentuk satu misi keselamatan maritim yang bersifat defensif.

Inisiatif tersebut, katanya, boleh digerakkan bagi membantu melindungi laluan perdagangan di Selat Hormuz sekiranya perjanjian dimeterai.

Menyentuh situasi di Lubnan, Macron menegaskan kepentingan menghormati kedaulatan negara itu serta pelaksanaan gencatan senjata yang berkesan.

Beliau turut menyeru sokongan antarabangsa bagi membantu memastikan kestabilan di negara berkenaan.

Perkembangan itu berlaku ketika Washington dan Tehran dilaporkan masih memperhalusi draf memorandum persefahaman (MoU) untuk meredakan ketegangan di rantau Asia Barat.

 

Must Watch Video

Advertisement