Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkata lebih 20 juta penumpang di Malaysia bakal menikmati Caj Perkhidmatan Pelanggan (PSC) lebih rendah dengan pengenalan kerangka Pangkalan Kawal Selia Aset (RAB).

Lapangan terbang yang dijangka mengenakan caj PSC lebih rendah termasuk Langkawi, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Miri, Sibu, Tawau, Lahad Datu, Kota Bharu dan Alor Setar.

Mavcom berkata pihaknya kini di peringkat akhir menyiapkan kerangka itu, yang membabitkan asas bagi pembiayaan dan pembangunan rangkaian lapangan terbang di Malaysia, selaras dengan tanggungjawab statutori ditetapkan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].

Kerangka itu dijangka memastikan pembiayaan mencukupi disediakan untuk memenuhi keperluan penyelenggaraan dan pembangunan lapangan terbang di Malaysia; menghapuskan sebarang keperluan bagi subsidi kerajaan atau perbelanjaan kerajaan dalam lapangan terbang; dan mewujudkan kadar PSC berbeza untuk kumpulan lapangan terbang, bergantung pada tahap perkhidmatan dan infrastruktur mereka.

Ia juga menjangkakan untuk mengurangkan PSC bagi semua lapangan terbang komersial di Malaysia dan memastikan caj lapangan terbang di negara ini kekal antara yang terendah di rantau ini, mengusahakan keadaan bagi perbelanjaan modal lebih berdisiplin dalam sektor lapangan terbang di Malaysia; dan membolehkan tahap persaingan lebih setara dan sihat bagi sektor syarikat penerbangan.

Pengerusi Eksekutif Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata Mavcom akan terus berusaha ke arah pelaksanaan kadar PSC baharu mulai 1 Jan, 2020 dan akan membuat pengumuman perlu mengikut kesesuaian.

Beliau berkata suruhanjaya itu telah membentangkan kerangka RAB untuk PSC bagi empat tahap lapangan terbang berbeza kepada pembuat dasar termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Mavcom telah memberi taklimat kepada perdana menteri berhubung kerja yang telah dilakukan oleh suruhanjaya demi untuk manfaat penumpang, dan bagaimana mekanisme pembiayaan yang jelas dan telus diperlukan untuk memastikan pelaburan yang cukup dibuat dalam lapangan terbang di Malaysia, terutamanya di lapangan terbang utama yang memerlukan naik taraf besar-besaran.

"Kerangka RAB yang dicadangkan itu boleh dicapai tanpa mengenakan sebarang beban fiskal kepada kerajaan," katanya dan menurutnya kerajaan akan dapat menikmati pulangan dalam bentuk yuran pengguna yang dibayar oleh pengendali lapangan terbang kepada kerajaan.

Nungsari menganggarkan bahawa kerajaan perlu menanggung kira-kira RM300 juta setahun bagi subsidi sekiranya PSC tidak ditetapkan dengan betul, dan kekurangan pelaburan dalam sektor lapangan terbang akan berterusan.

"Dengan adanya kerangka ini, kerajaan akan dapat memperuntukkan sumbernya kepada keperluan mendesak yang lain di dalam negara," katanya.

-- BERNAMA