Seramai 20 kanak-kanak yang dilaporkan hilang di negeri Melaka sejak sembilan tahun lalu masih gagal dijejaki sehingga hari ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata berkata, jumlah itu membabitkan tujuh peratus daripada 303 kes yang direkodkan sejak tahun 2010 hingga Oktober lalu.

Beliau berkata, antara faktor yang menyumbang kepada kehilangan kesemua mangsa yang berusia bawah 18 tahun ini adalah tekanan masalah keluarga, pengaruh rakan sebaya dan juga mengikuti kekasih.

Jelasnya, sehingga kini pihak polis tidak memperoleh sebarang petunjuk mengenai lokasi kesemua kanak-kanak berkenaan sama ada masih berada di dalam negara atau sebaliknya.

“Di Melaka dari 2010 hingga Oktober 2019, seramai 303 orang (kes hilang). Melaka Tengah paling banyak.. 150 orang, Alor Gajah (83) dan Jasin (70). Daripada jumlah itu, 93 peratus ditemui kembali (283 orang) dan yang masih hilang 7 peratus iaitu seramai 20 orang.

“Kalau kita lihat trend kanak-kanak dijumpai semula kerana kerjasama masyarakat dan juga media yang menguar-uarkan. Jadi dia (orang hilang) rasa dia diketahui (ramai), maka dia akan balik ke pangkal jalan. Tapi 20 orang ni langsung tak dijumpai, itu kita risau.

“Sama ada anak-anak ini dibawa oleh sindiket atau telah dijual ke luar negara pun kita tak tahu. Kita tak dapat rekod yang jelas,” jelas Mat Kasim.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Seminar Kehilangan Kanak-Kanak: Di Manakah Silapnya? di auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang pada Selasa.

Mengulas lanjut katanya, konsep kekitaan atau semangat kejiranan yang semakin merudum dalam kalangan masyarakat perlu dipupuk kembali bagi membantu membendung peningkatan kadar jenayah.

Jelasnya, hasil kerjasama masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan hebahan media amat penting dalam usaha pencarian orang hilang.