LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo pada kedudukan 29.7 batu nautika barat laut Pulau Pangkor, dan sebuah bot nelayan tempatan kelas B pada kedudukan 2.7 batu nautika tenggara Pulau Pasir Agas.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, tangkapan itu dibuat secara berasingan oleh dua bot peronda Maritim Malaysia dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kepulauan Sembilan, di sini, petang Selasa.

"Tangkapan pertama melibatkan sebuah kapal kargo yang berlabuh dalam keadaan mencurigakan, sebelum anggota peronda merapat dan menggeledah kapal kargo berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 20 kru warga Myanmar dalam lingkungan umur 20 hingga 55 tahun berada di atas kapal.

"Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen kapal mendapati, kapal kargo itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B (1) (L) di bawah Akta Ordinan Perkapalan (MSO) 1952, kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Kesemua mereka dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh Sitiawan, bagi siasatan dan tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam perkembangan berasingan, katanya tangkapan kedua membabitkan sebuah bot nelayan tempatan sedang menarik pukat di kawasan yang tidak dibenarkan dan melanggar syarat lesen.

"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat tiga kru termasuk tekong warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 44 tahun disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) di bawah Akta Perikanan 1985.

"Bot serta kru bersama anggaran 30 kilogram (kg) hasil tangkapan diiring ke Jeti Perikanan Kampung Acheh Sitiawan, bagi siasatan dan tindakan lanjut," katanya lagi.

Sebarang maklumat atau aduan jenayah maritim, orang ramai boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.