JERANTUT: Seramai 20 orang yang terdiri daripada ahli sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Tahan termasuk penduduk Orang Asli etnik Bateq menganggotai pasukan Nature Lifeguard yang pertama di negara ini di Taman Negara, Kuala Tahan, dekat sini.

Penubuhan pasukan Nature Lifeguard berkenaan adalah untuk menjalankan tugasan demi kepentingan menjaga keselamatan pelancong yang melawati pusat peranginan hutan tropika berusia 130 juta tahun itu.

Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh. Mohamed Puzi Sh. Ali berkata, pasukan Nature Lifeguard di bawah APM Pahang itu merupakan nilai tambah terhadap pembangunan industri pelancongan Taman Negara dan negeri ini khususnya bagi menangani aspek keselamatan darat dan air sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

"Anggota pasukan ini dilatih dengan kemahiran asas pertolongan cemas, berenang, menyelamat di air dan daratan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta kemahiran mengendalikan bot selain penyelamatan. Ini turut meningkatkan lagi keyakinan lebih tinggi kepada pelancong yang berada di sini berasa selamat.

"Kita sedar berasaskan pengalaman banjir 2014 termasuk kejadian banjir tahun berikutnya serta malapetaka  yang berlaku di darat (hutan) menyebabkan APM meningkatkan kesiapsiagaan untuk tugas menyelamat dengan menubuhkan pasukan tersebut,” katanya di Kuala Tahan dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Pengerusi Jawatan Kuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin melancarkan pasukan Nature Lifeguard APM di Kuala Tahan dekat sini.

Turut hadir Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.

Sempena majlis pelancaran itu, Sh. Mohamed Puzi turut menyampaikan sebuah enjin dan perahu sumbangan Malaysian Consultative Council of Islamic Organisation Malaysia (MAPIM) kepada pasukan Nature Lifeguard dan sukarelawan JPAM Kuala Tahan untuk kegunaan kerja menyelamat dan menghantar bantuan.

"Sekiranya pasukan Nature Lifeguard berada berdekatan tempat kejadian, tindakan menyelamat dapat dipercepatkan sekali gus pengurangan masa untuk tindak balas kecemasan serta risiko kecederaan dan bahaya tertentu kepada mangsa dapat dikurangkan.

“Ini cukup memberikan manfaat kepada pelancong luar serta pelawat domestik yang saban hari menunjukkan peningkatan singgah di Taman Negara malahan lebih meyakinkan mereka untuk menjalani aktiviti riadah khususnya aktiviti ekstrem di air dan darat,” katanya.

Katanya, pasukan Nature Lifeguard sudahpun dominan di negara Barat yang mempunyai banyak pusat pelancongan serta dikunjungi ramai pelawat untuk melakukan aktiviti bercorak ekstrem dan Pahang mengambil langkah yang proaktif untuk memperkemaskan aspek keselamatan dan penyelamatan.

"Tourism Pahang berharap kerajaan negeri dan APM akan menambah kelengkapan dan logistik seperti bot serta peralatan menyelamat dari masa ke semasa serta melatih ramai ahli sukarelawan untuk menyertai pasukan Nature Lifeguard pada masa akan datang.

"Kita juga mencadangkan sebuah pusat lojistik dan pentabiran di Kuala Tahan untuk menempatkan peralatan menyelamat, tempat latihan, penerangan dan maklumat dan sebagainya daripada kerajaan negeri dan Pejabat Daerah dalam usaha memperkemaskan pengurusan pasukan tersebut termasuk Sukarelawan APM," katanya.