Skip to main content

Malaysia

Pemilihan Dr Jeswant ke AATS bukti kecemerlangan, dedikasi pakar bedah negara - Dzulkefly

FB Dr Dzulkefly Ahmad
Menurut Dzulkefly, kejayaan itu bukan diraih sekelip mata sebaliknya hasil komitmen dan khidmat bakti berterusan pakar bedah berkenaan dalam memajukan bidang perubatan. - Foto FB Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR: Pemilihan Profesor Datuk Seri Dr Jeswant Dillon sebagai rakyat Malaysia pertama diterima sebagai ahli Persatuan Pembedahan Torasik Amerika Syarikat adalah pengiktirafan tertinggi terhadap kecemerlangan, dedikasi dan sumbangan beliau dalam bidang pembedahan kardiotorasik.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kejayaan itu bukan diraih sekelip mata sebaliknya hasil komitmen dan khidmat bakti berterusan pakar bedah berkenaan dalam memajukan bidang perubatan.

“Beliau merupakan seorang patriot sejati yang telah berjaya mengibarkan Jalur Gemilang dengan megah di persada antarabangsa. Saya sendiri pernah melihat ketelitian dan kepakaran beliau beraksi di dewan bedah.

“Bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghormatan buat Dr Jeswant atas pengiktirafan yang sangat selayaknya ini. Malaysia amat berbangga dengan sumbangan dan pencapaian anda,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata kejayaan Pakar Perunding Kanan Pembedahan Kardiotorasik di Institut Jantung Negara itu bukan sahaja mengharumkan nama negara malah menjadi inspirasi kepada generasi pakar bedah Malaysia untuk terus mengejar kecemerlangan dan melakar pencapaian lebih besar pada masa hadapan. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement