ALOR SETAR: Sebanyak 209 pengendali makanan di bazar Ramadan negeri ini dikesan tidak mempunyai suntikan antitifoid yang diperlukan bagi mencegah penyebaran penyakit berjangkit melalui makanan atau minuman.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Othman Warijo berkata kesemua mereka dikesan menerusi operasi pemantauan di bazar Ramadan dan setakat ini sejumlah 1,325 premis serta 2,132 orang pengendali makanan telah diperiksa.

"Sebanyak 269 pengendali makanan pula didapati tidak menghadiri latihan pengendalian makanan yang diperlukan bagi mengelakkan kes keracunan makanan.

Sejumlah 19 Notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana pelbagai kesalahan di bawah peraturan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, KKM memandang serius isu keracunan makanan yang berlaku di premis-premis makanan, namun tiada sebarang kes itu yang dilaporkan berpunca daripada premis bazar Ramadan di Kedah setakat ini.

Othman berkata KKM turut menjalankan pensampelan makanan di bazar-bazar Ramadan di mana setakat ini sebanyak 38 sampel telah diambil dan masih menunggu keputusan daripada pihak makmal yang terlibat.

"KKM ingin menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis makanan untuk memastikan premis makanan mereka bersih pada setiap masa. Di samping itu, KKM ingin menasihatkan pengguna supaya sentiasa memilih premis makanan yang bersih," katanya.

Othman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyimpan makanan yang mudah rosak sehingga waktu sahur seperti kerabu serta makanan berasaskan santan dan bagi makanan yang disimpan di dalam peti sejuk pula perlu dipanaskan dengan sempurna sebelum dihidangkan.

Beliau berkata pengguna yang mempunyai tanda-tanda seperti loya, muntah, cirit birit atau sakit perut hendaklah segera ke klinik atau hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

"Pengguna yang merasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan di bazar Ramadan boleh menyalurkan aduan atau pertanyaan di Pejabat Kesihatan Daerah terdekat," katanya.

-- BERNAMA