KEPALA BATAS: Seramai 21 penghuni hilang tempat berteduh selepas empat unit rumah kelas B di Permatang Kerai Besar di sini musnah dalam kebakaran awal pagi Ahad.
Mangsa membabitkan seorang lelaki dan dua wanita dewasa di rumah pertama, dua lelaki dan tiga wanita di rumah kedua, tiga lelaki dan empat wanita di rumah ketiga serta empat lelaki dan dua wanita di rumah keempat.
Advertisement
Kejadian jam 5.06 pagi itu turut memusnahkan dua kenderaan dan lima motosikal, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.06 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
"Operasi turut dibantu BBP Butterworth, BBP Tasek Gelugor dan BBP Sungai Bakap dengan kekuatan keseluruhan 27 anggota termasuk penyelia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kebakaran melibatkan empat unit rumah berkeluasan 93 meter persegi setiap satu dengan anggaran kemusnahan sekitar 80 peratus bagi setiap rumah.
“Api merebak dengan cepat ke rumah bersebelahan disebabkan jarak antara kediaman yang berdekatan.
“Rumah kedua turut membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Exora dan Ford Ranger yang masing-masing dianggarkan musnah 90 peratus, manakala rumah keempat membabitkan lima motosikal dengan anggaran kemusnahan keseluruhan 90 peratus,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba melaksanakan ‘size up’ dengan pemakaian peralatan perlindungan diri lengkap serta mengaplikasikan konsep RECEO.
“Kaedah pemadaman dijalankan secara ‘defensive’ dan ‘offensive’ selain membuat ‘fire break’ bagi mengelakkan kebakaran terus merebak. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6 pagi dan dipadam sepenuhnya pada jam 6.56 pagi.
“Kerja-kerja ‘overhaul’ kemudian dijalankan sebelum lokasi diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Beliau berkata, tekanan air yang rendah di lokasi kejadian turut menjadi antara cabaran sepanjang operasi pemadaman.
"Turut membantu di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia. Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang serta beberapa pasukan bomba sukarela (PBS) termasuk Sungai Puyu, PBS Bagan Ajam, PBS Kepala Batas dan PBS Pematang Tinggi.
"Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) JBPM turut memberikan khidmat nasihat serta mengambil maklumat pemilik rumah bagi membantu dan memudah cara urusan selanjutnya mengikut keperluan semasa," katanya.
Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.32 pagi. -Sinar Harian