JOHOR BAHRU: Sebanyak 21 buah pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di enam daerah di Johor, sedia diaktifkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya banjir melanda negeri itu.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan berkata, jumlah itu termasuk 18 buah sekolah yang menjalani SPM telah melaksanakan persiapan terperinci.

Beliau berkata, ia melibatkan lima pusat peperiksaan di daerah Batu Pahat, empat di Segamat, manakala tiga di Kluang dan Kota Tinggi.

Di samping dua pusat peperiksaan di Kulai dan satu di Tangkak.

"Setakat laporan sehingga pada pagi ini perjalanan dan juga pengelolaan SPM di seluruh negara tidak ada masalah atau isu murid-murid kita terjejas ke pusat peperiksaan walaupun ada kawasan tertentu di beberapa negeri masih lagi dilanda banjir," katanya.

Sementara itu, menurut Azman, sebanyak 58 pusat peperiksaan dan laluan ke pusat peperiksaan di negeri itu turut dikesan berpotensi tinggi untuk dilanda banjir.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, pada Selasa.

Untuk rekod, seramai 48,426 pelajar menduduki peperiksaan di 364 pusat melibatkan 301 buah sekolah di Johor.

Daripada jumlah tersebut, seramai 161 orang merupakan calon berkeperluan pendidikan khas.