BESUT: Sebanyak 212 buah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di pantai timur telah terkesan dengan bencana banjir yang melanda baru-baru ini.

Menurut Ketua Pengarah Kemas Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi, bencana alam itu juga telah menyebabkan lebih 600 kakitangan jabatan membabitkan negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang terjejas.

Katanya di Terengganu sahaja, kira-kira 100 Tabika ditenggelami banjir sehingga mengakibatkan kerosakan pada alat bantu pembelajaran dan peralatan elektrik serta perabot.

Bagaimanapun Ahmad Kamal Idris berkata, kesemua premis Tabika terlibat akan beroperasi seperti biasa bermula sesi Januari.

"Daripada yang kita lawat ada kelas-kelas itu yang boleh kita buka pada hari Ahad ini.

"Sebaik sahaja banjir reda tempoh hari, kepimpinan tempatan khususnya ketua ketua bahagian kepada semua pemimpin masyarakat kepada pengerusi pengerusi tabika kemas dan jawatankuasa bersama dengan guru-guru Kemas bersama dengan ibu bapa, mereka terus berusaha membersihkan bangunan Tabika.

"Saya ucap terima kasih kepada mereka," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti nilai keseluruhan kerosakan dan usaha memperbaiki serta menggantikan peralatan baharu akan dilaksananakan bagi memastikan keselesaan anak-anak dan kakitangan.

Banjir luar jangka yang melanda Terengganu menyaksikan lebih 40,000 mangsa membabitkan kelapan-lapan daerah itu terjejas.

Bencana alam itu juga menyaksikan lebih 1,000 penduduk di Kampung La terjejas dan ada di antara mereka hilang tempat tinggal selepas kediaman dihanyutkan arus deras.