KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 pembaharuan yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memacu pembangunan sukan negara berjaya dicapai dalam tempoh sembilan bulan iaitu tiga bulan awal sebelum genap setahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, pembaharuan itu meliputi empat aspek utama iaitu memperkukuhkan ekosistem sukan, merakyatkan sukan, memperkasakan belia dan merakyatkan fasiliti milik KBS.

"Dalam tempoh setahun Kerajaan MADANI ini ataupun sekurang-kurangnya di peringkat KBS, kita letakkan sekurang-kurangnya 22 pencapaian dan semua ini ikut rekodnya kita anggap sebagai tercapai sekurang-kurangnya dalam tempoh sembilan bulan sejak ia diperkenalkan.

"...contohnya paling asas gedung sukan ataupun fasiliti kompleks sukan yang paling utama dalam negara iaitu penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil yang dahulunya lebih eksklusif tetapi sekarang dibuka seluasnya kepada penggunaan peringkat sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Naratif Khas terbitan RTM yang disiarkan di TV1 sempena program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, pada Selasa.

Adam Adli menegaskan, golongan belia turut diberi perhatian dalam pentadbiran Kerajaan MADANI iaitu dengan memberi nafas baharu kepada program Rakan Muda pada Jun lepas, selain memperkenalkan Sekolah Rukun Negara yang bertujuan meningkatkan literasi politik dalam kalangan belia pada bulan berikutnya.

"Sekolah Rukun Negara ini jadi pencetus dan menjadi ruang di luar bilik darjah untuk mereka (golongan belia) menemukan idea yang mungkin tidak dibincangkan menerusi mata pelajaran sekolah," katanya. - BERNAMA