Skip to main content

Malaysia

Peruntukan RM1.5 juta bantu golongan memerlukan akses guaman syarie - Zulkifli

PUTRAJAYA, 27 Jun -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan ketika bertemu pengamal media selepas menghadiri Perasmian Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 hari ini.  --fotoBERNAMA
Zulkifli ketika bertemu pengamal media selepas menghadiri Perasmian Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Peruntukan RM1.5 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia melalui program Bantuan Guaman Syarie (BAGUS), akan membantu memperluas akses kepada representasi undang-undang di Mahkamah Syariah bagi golongan yang memerlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan persatuan itu untuk memberikan akses perundangan kepada mereka yang memerlukan.

"Sekiranya tidak cukup kewangan, mereka boleh merujuk kepada Persatuan Peguam Syarie untuk membantu kes-kes yang dibicarakan di mahkamah. 

"Mereka (Persatuan Peguam Syarie) boleh menawarkan penyelesaian perkhidmatan dengan adanya dana yang diberikan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan berkenaan kepada Persatuan Peguam Syarie bagi memastikan akses kepada keadilan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat sekali gus membantu golongan yang memerlukan mendapatkan representasi guaman dan pembelaan hak di Mahkamah Syariah.

Zulkifli berkata Mahkamah Syariah ketika ini telah melaksanakan pelbagai pendekatan dan inovasi bagi meningkatkan akses kepada keadilan melalui pelaksanaan Sistem eSyariah Versi 3(ESV3) dan memperkukuh ekosistem digital kehakiman syariah melalui pembangunan Sistem E-Tanzim Syariah Law.

"Pendigitalan melalui ESV3 dan E-Tanzim bukan sekadar penambahbaikan teknikal, tetapi merupakan langkah strategik ke arah membina Mahkamah Syariah yang lebih moden, cekap, sistematik dan mesra pengguna, selaras dengan agenda pemerkasaan sistem keadilan syariah negara," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga berpandangan usaha mempermudah mekanisme pengiktirafan atau penerimaan masuk peguam syarie yang telah bertauliah di negeri lain wajar diteliti secara bersama, tertakluk kepada undang-undang dan bidang kuasa negeri masing-masing.

"Langkah ini bukan sekadar penyelarasan pentadbiran, tetapi mencerminkan kesediaan kita untuk membangunkan satu komuniti profesional peguam syarie yang lebih kukuh dan bersifat nasional sesuai dengan tema konvensyen ini, 'Ke arah Memperkasa Sistem Keadilan Syariah yang Efisien dan Profesional'," katanya.

Zulkifli berkata usaha penyelarasan itu merupakan langkah memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, institusi agama, badan kehakiman syariah dan profesion peguam syarie.

“Dengan semangat musyawarah dan federalisme yang harmoni, penyelarasan ini diharap dapat memperkukuh profesion peguam syarie secara tersusun, berhemah dan saling melengkapi,” katanya.

Konvensyen Profesion Peguam Syarie 2026 anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menghimpunkan lebih 600 pengamal perundangan yang diadakan bagi memperkukuh institusi kehakiman dan perundangan syariah negara. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement