KUANTAN: Seramai 23 anggota dan pegawai polis Pahang telah diambil tindakan dibuang kerja kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam tempoh dua tahun bermula tahun 2020.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tindakan itu dibuat selepas mereka didapati bersalah oleh mahkamah atas pelbagai kesalahan seperti penagihan dadah dan kesalahan jenayah lain.

Menurut rekod, seramai 14 anggota dan pegawai diambil tindakan dibuang kerja pada 2020 manakala sembilan orang pada 2021 dengan kesalahan tertinggi ialah jenayah narkotik, rasuah dan salah guna kuasa diikuti jenayah-jenayah lain.

Tambah Ramli, angka itu sangat membimbangkan dan tindakan buang kerja itu diharap dapat dijadikan pengajaran dan peringatan kepada anggota serta pegawai lain yang sedang dalam perkhidmatan agar tidak terlibat melakukan kesalahan.

“Yang kita nak tekankan, bukanlah soal mereka itu dibuang kerja, tetapi sebagai peringatan kepada mereka yang sedang dalam perkhidmatan ini untuk tidak menjinakkan diri dengan apa-apa elemen negatif yang boleh memberi kesan kepada diri mereka dan juga pada pasukan khasnya,” kata beliau.

Ramli berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan bulanan bagi bulan Januari 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang kuantan pada Selasa.

Menurut Ramli, semua perilaku jenayah terutama dadah, akan memberi kesan kepada PDRM dan bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi keselamatan itu malah keluarga serta kepada masyarakat sekeliling.

“Kita tidak mahu dalam polis ada yang begini. Dadah yang jenis ciptaan ini boleh menjadi sebab, iyalah, kita ini menggunakan senjata dan sebagainya. Ia boleh membahayakan rakan sekerja,” ujar beliau.

Ramli memaklumkan, bagi tahun 2021, sebanyak 1,266 kertas siasatan pelbagai kesalahan jenayah komersial telah diselesaikan manakala seramai 1,101 pembekal dan 2,687 pemilik dadah bagi jenayah narkotik berjaya ditangkap.

Ramli menambah, beberapa sindiket melibatkan kes jenayah, komersial dan dadah telah berjaya ditumpaskan.