KUALA LUMPUR: Sebanyak 23 kenderaan yang dipandu warga asing disita dalam Operasi PEWA yang dijalankan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia hari ini membabitkan pelbagai jenis kesalahan.

Menurut Ketua Bahagian Penguatkuasanya, Raja Nursyuhaida Raja Azmi, sebanyak 79 notis saman telah dikeluarkan oleh pihak JPJ dalam operasi tersebut yang bermula jam 10 pagi hingga 1 petang.

Jelasnya, banyak kenderaan warga tempatan yang diperiksa telah dibenarkan penggunaannya kepada warga asing yang melakukan pelbagai jenis kesalahan.

“Dalam operasi yang dijalankan, kita dapati memang terdapat kesalahan terutamanya tiada lesen memandu yang sah di Malaysia dan lesen memandu tamat tempoh.

“JPJ juga mengenal pasti kebanyakan kenderaan yang dibawa oleh warga asing adalah milik warganegara kita sendiri. Di sini kita boleh lihat mereka memberi sewa atau memajakkan kenderaan tersebut kepada warga asing," jelasnya kepada media sejurus tamat operasi tersebut di sini hari ini.

Kebanyakan kenderaan yang digunakan mereka itu, katanya, adalah bagi tujuan perniagaan seperti keperluan harian bahan mentah dan lain-lain.

Malah ia turut melibatkan kenderaan berat seperti lori pengangkut sampah oleh syarikat tempatan yang menjadikan warga asing sebagai pemandu walaupun tidak mempunyai lesen atau dokumen yang sah.

Tambahnya lagi, sekurang-kurangnya 63 kesalahan tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) dikesan dalam operasi tersebut selain lapan kesalahan tidak memiliki lesen memandu vokasional (GDL).

Selain itu, lapan lagi kesalahan turut dikesan membabitkan insurans kenderaan tamat tempoh.

Pihak JPJ juga menasihatkan orang ramai agar tidak membenarkan kenderaan milik mereka disewa atau dipajakkan kepada warga asing atau mengubah suai kenderaan persendirian mereka bagi tujuan perniagaan tanpa kebenaran atau lesen yang sah.

“Contohnya kita memasang ‘side car’ pada kenderaan persendirian, tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 6 (1) iaitu larangan kepada kenderaan-kenderaan motor yang tidak mematuhi kaedah-kaedah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1997.

“Sama juga untuk kenderaan yang tidak memiliki insurans, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 90 (1) akta yang sama,” katanya lagi.

Kesemua notis saman yang dikeluarkan akan dihantar kepada pemilik kenderaan tersebut dalam tempoh 24 jam.

Dalam masa yang sama, pihak Jabatan Imigresen Malaysia menahan 36 warga asing tersebut yang diperiksa membabitkan pelbagai kesalahan.

Ia termasuk tiada dokumen peribadi, dokumen tamat tempoh dan salah guna pas.

Kesemua warga asing yang ditahan membabitkan warga India, Myanmar, Pakistan, Indonesia dan Kemboja.