Skip to main content

Malaysia

230 juta metrik sisa plastik dijangka terkumpul di seluruh dunia menjelang 2040

BERNAMA
Azrina (berdiri, lapan kanan) bersama Muhammad Ikhwanuddin (berdiri, tengah) bergambar bersama peserta pada Majlis Penutup Program Citizen Science: Pemantauan dan Pembersihan Sisa Plastik Marin Kebangsaan 2026 di Pantai Tanjung Gelam, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA NERUS: Sebanyak 230 juta tan metrik sisa plastik dijangka mencemari daratan, sungai dan laut dunia menjelang 2040.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Nor Yahati Awang berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 23 juta tan sisa plastik dianggarkan terlepas ke perairan setiap tahun, sekali gus menjadi ancaman terhadap ekosistem marin.

Beliau berkata sehubungan dengan itu di peringkat Malaysia, NRES telah merangka pelbagai langkah serta inisiatif untuk memperkasakan pengurusan sisa marin, termasuk membangunkan kaedah pemantauan yang seragam di seluruh negara melalui pelaksanaan program pembersihan pantai.

"Antara inisiatif yang digerakkan ialah program pembersihan pantai, pengumpulan data dan pemantauan secara sistematik. Data yang kukuh bukan sahaja membantu penggubalan dasar berasaskan bukti, malah penting untuk memenuhi pelaporan antarabangsa di bawah SDG 14: Kehidupan di Bawah Air," katanya pada Majlis Penutup Program Citizen Science: Pemantauan dan Pembersihan Sisa Plastik Marin Kebangsaan 2026, di Pantai Tanjung Gelam, dekat sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Setiausaha Bahagian (Seksyen Pengurusan Sumber Alam) NRES Azrina Mohd Said. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Muhammad Ikhwanuddin Abdullah.

Nor Yahati berkata pendekatan sama juga disarankan oleh The Coordinating Body on the Seas of East Asia (COBSEA) yang menekankan supaya aktiviti pembersihan pantai digabungkan dengan proses pemantauan saintifik dan sistemik, pengelasan sisa yang seragam, pengumpulan data yang berkualiti serta analisis corak dari semasa ke semasa.

Beliau berkata usaha pencegahan dan mengurangkan pencemaran marin amat penting bagi memastikan ekosistem, sumber serta biodiversiti laut terus terpelihara dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Muhammad Ikhwanuddin berkata sebanyak 165 kilogram sampah berjaya dikumpul dalam tempoh kurang dua jam oleh lebih 100 peserta program Citizen Science: Pemantauan dan Pembersihan Plastik Marin Kebangsaan 2026 pada hari ini.

Beliau berkata program kolaborasi pihaknya bersama NRES dan persatuan “Geng Plastik Ija” itu memberi perhatian khusus kepada pengumpulan dan pengasingan sisa marin seperti plastik, bahan pembungkusan serta peralatan perikanan yang berpotensi memberi kesan kepada ekosistem pantai.

Katanya, data yang diperoleh mampu membantu penyelidik mengenal pasti jenis, jumlah dan taburan sisa di kawasan pantai untuk digunakan sebagai sumber maklumat bagi menyokong kajian, pemantauan serta perancangan pengurusan alam sekitar masa hadapan.

"Selain aktiviti pembersihan, peserta yang terdiri daripada pelajar, sukarelawan dan komuniti setempat turut diberi pendedahan mengenai pengelasan sisa marin, kepentingan pengurangan penggunaan plastik serta peranan masyarakat dalam melindungi kawasan pesisir.

"Kampung Tanjung Gelam dipilih untuk program hari ini berikutan kepentingannya sebagai kawasan rekreasi dan ekosistem pesisir yang memerlukan pemantauan serta penjagaan secara berterusan," katanya.          

 -- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement