IPOH: Seramai 237,204 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di Perak sehingga jam 12 tengah hari Jumaat.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, daripada jumlah itu, seramai 90,759 orang telah melengkapkan dua dos suntikan. 

Menurut beliau, sehingga tengah hari Jumaat juga, seramai 828,881 orang atau 42.9 peratus penduduk Perak telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

Katanya, selain pusat pemberian vaksin (PPV) awam, terdapat beberapa hospital dan klinik swasta telah mendaftar dan dilantik untuk program imunisasi di bawah Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS)

“Kaedah janji temu dan operasi sama seperti PPV awam melalui MySejahtera dan fasa yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Akmal berkata, PPVHS akan membantu mempercepatkan urusan vaksinasi di negeri ini, terutama bagi daerah-daerah besar seperti Kinta, Manjung dan Larut Matang Selama (LMS).

Beliau turut menjangkakan PPVHS akan mula beroperasi pada pertengahan Jun tetapj bergantung kepada kesediaan hospital terbabit.

“Jumlah janji temu di PPVHS akan bergantung kepada keupayaan ‘vaccinator’ dan kapasiti di lokasi,” ujarnya.