MALAYSIA
239,053 pekebun kecil terima manfaat IPG RM523.4 juta sehingga Jun

IPG dilaksanakan untuk menjamin kebajikan pekebun kecil getah agar masih memperoleh pendapatan yang wajar apabila harga getah jatuh di bawah Paras Harga Pengaktifan (PHP). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pemberian Insentif Pengeluaran Getah (IPG) telah memberi maanfaat kepada 239,053 pekebun kecil dengan pembayaran berjumlah RM523.4 juta sejak pelaksanaannya dari September 2015 hingga 30 Jun 2025, menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Ringkasan AI
- Sejak pelaksanaan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) pada September 2015 hingga 30 Jun 2025, seramai 239,053 pekebun kecil telah menerima manfaat dengan jumlah pembayaran sebanyak RM523.4 juta, bertujuan menjamin pendapatan ketika harga getah jatuh di bawah paras pengaktifan.
- Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaksanakan Projek Rintis Model Baharu IPL di Kedah dan Perak untuk menggalakkan pengeluaran lateks yang memberi pulangan lebih tinggi, dengan 221 tan metrik lateks telah dihasilkan dan peluasan program ke Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor sedang dijalankan.
- LGM juga sedang membina tiga pusat Program TARGET yang dijangka beroperasi pada suku kedua 2026, bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui penglibatan langsung dalam rantaian industri dan penghasilan getah krip bernilai tambah dengan Kandungan Getah Kering sekitar 80 peratus.
KPK menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung langkah strategik kementerian dalam memastikan harga getah kekal stabil dan tidak merosot hingga menjejaskan pendapatan pekebun kecil.
Katanya Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah membangunkan Projek Rintis Model Baharu IPL+ di Kedah dan Perak bertujuan menggalakkan pekebun kecil beralih kepada pengeluaran getah dalam bentuk lateks yang memberi pulangan lebih tinggi berbanding cuplump.
Menurut KPK, inisiatif ini juga merupakan langkah awal bagi mengurangkan kebergantungan kepada lateks import.
"Sehingga Jun 2025, sebanyak 221 tan metrik lateks telah berjaya dihasilkan melalui Projek IPL+. Jumlah ini dijangka terus meningkat dengan peluasan program ke tiga lagi lokasi tambahan yang sedang dijalankan pada tahun ini, iaitu Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor," katanya.
Dalam pada itu, katanya LGM sedang membina tiga pusat Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) yang dijangka beroperasi pada suku kedua 2026.
Menurut KPK, program TARGET bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui penglibatan langsung dalam rantaian industri tanpa kebergantungan kepada orang tengah.
"Ia memendekkan rantaian bekalan dan membolehkan pekebun menghasilkan getah krip bernilai tambah dengan Kandungan Getah Kering (KGK) kira-kira 80 peratus, yang memberi pulangan lebih tinggi kepada pekebun kecil.
"Jika dilaksanakan melalui koperasi, keuntungan turut diagihkan sebagai dividen kepada ahli," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami