KUALA LUMPUR: Seramai 243 individu ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Sabtu.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia termasuk kesalahan gagal merekodkan butiran diri ketika masuk ke premis.

"Semalam, 243 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 219 individu dikompaun manakala 24 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (99), tidak memakai pelitup muka (51), tiada penjarakan fizikal (37)," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Dalam pada itu, sebanyak 63,289 pemeriksaan telah dijalankan Task Force Operasi Pematuhan semalam melibatkan 3,402 pasukan pematuhan.

"Seramai 3,402 Pasukan Pematuhan melibatkan 15,446 anggota telah membuat pemantauan di 4,410 pasaraya, restoran (5,140), kilang (2,005), bank (4,025), pejabat kerajaan (853) dan penjaja (4,535).

"Turut dipantau ialah pasar awam/tani (2,151), tempat ibadah (3,301), tempat riadah (1,748), terminal pengangkutan darat (1,600), terminal pengangkutan air (501) dan terminal pengangkutan udara (123)," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan pula, Ismail berkata seramai 22 Pendatang Tanpa Izin (PATI) berjaya ditahan dalam Operasi Benteng yang dijalankan semalam.

Turut dirampas tiga buah kenderaan darat dipercayai digunakan bagi penyeludupan PATI.

"Sebanyak 112 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan," ujarnya.